Mustafar: Kaunter imigresen KLIA sesak perkara biasa
Ketua pengarah imigresen berkata, beliau sudah mengarahkan semua kaunter dibuka pada setiap musim perayaan kerana menjangkakan kehadiran ramai pelancong.
PETALING JAYA: Semua kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuka bagi menangani kebajiran penumpang yang dijangka berlaku sempena cuti panjang Aidilfitri, kata Datuk Seri Mustafar Ali.
Ketua pengarah imigresen itu berkata demikian mengulas gambar penumpang beratur panjang menunggu pemeriksaan pasport di kaunter imigresen, pada pagi tadi, yang disebarkan di media sosial.
“Saya sudah mengarahkan semua kaunter dibuka pada setiap musim perayaan kerana kita tahu akan ada ramai pelancong pada cuti perayaan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau menyifatkan kebanjiran penumpang di kaunter imigresen KLIA sebagai perkara biasa pada musim perayaan, kerana lapangan terbang seperti lebuh raya dan jalan raya akan sesak dengan kenderaan di mana rakyat pelbagai kaum mengambil kesempatan untuk pulang beraya atau bercuti di kampung halaman.
Menurut laporan The New Straits Times, ada penumpang yang terpaksa merayu orang di depan mereka memberi laluan kerana penerbangan akan berlepas tidak lama lagi.
Dalam pada itu, aliran trafik kembali lancar di beberapa lebuh raya utama setakat 4 petang tadi menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut esok.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang dipetik Bernama berkata, aliran trafik dilaporkan lancar di semua laluan ke selatan dan hanya bergerak perlahan di beberapa kawasan arah utara.
“Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Bukit Beruntung ke Lembah Beringin, dari Slim River ke Sungkai, dari Bidor ke Taiping dan dari Kuala Kangsar menuju Bukit Berapit,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 dilaporkan lancar dan terkawal.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter @LLMinfotrafik.