Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Al-Quran Thaqif jadi penawar rindu ibu

 | June 25, 2017

Felda Wani Ahmad berkata, beliau membaca Al-Quran yang menjadi rujukan Thaqif sebagai satu-satunya cara untuk menghilangkan kesedihan dan kerinduan terhadap anaknya.

ibu-thaqif

Felda Wani Ahmad bersama anak bongsunya ketika diwawancara FMT di ibu negara, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Hari ini genap 2 bulan pemergian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi dan ibunya hanya terkenangkan baju kurta diminta pelajar tahfiz itu, ketika umat Islam meraikan ketibaan Aidilfitri dengan meriah.

Felda Wani Ahmad, 40, mengimbau kembali sikap pelik anak lelaki sulungnya daripada 5 beradik itu meminta baju kurta untuk dipakai pada raya ini berbanding baju Melayu yang biasa dipakai arwah.

“Bila nak beli-belah baju raya, selalunya dia akan tanya mama bila nak beli baju raya? Pakai baju apa tahun ni? Saya nampak dia peliklah, seolah dia macam dah tahu tak akan ada kaki dan mahu pergi.

“Masa saya pergi tempah baju raya seminggu selepas dia berhenti sekolah, iaitu selepas 31 Mac, saya nak tempahkan baju Melayu sepasang dia tak nak, dia kata nak baju boleh pakai dengan seluar biasa, dia nak kurta,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kain ungu yang dibeli sejak Januari lalu, lebih awal daripada kebiasaan untuk dijahit baju Melayu Thaqif seperti “hendak tinggalkan kenangan” buat dirinya.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru kerana kesihatannya merosot dan cedera di bahagian kaki, selepas dibawa keluar dari sekolah tahfiznya di Kota Tinggi, pada 31 Mac lalu, dipercayai akibat dipukul pembantu warden asramanya.

Kecederaan itu menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong sehingga paras paha akibat jangkitan kuman.

Doktor turut memutuskan memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman, namun ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil, sebelum kanak-kanak malang itu meninggal dunia pada petang 26 April lalu.

Al-Quran Thaqif jadi pengubat rindu

Walaupun redha, Felda Wani masih merindui anaknya sehingga kadangkala akan terbayangkan Thaqif.

“Memang kita redha, orang yang pernah rasa kehilangan anak saja tahu perasaan itu.

“Kita (keluarga) cuba nak lupakan kesakitan dia (Thaqif), tapi sampai hari ini saya tidak mampu,” kata guru itu.

Katanya, beliau membaca Al-Quran yang menjadi rujukan Thaqif sebagai satu-satunya cara untuk menghilangkan kesedihan dan kerinduan terhadap anaknya.

“Biasanya saya mengaji, berzikir. Bila saya buka Al-Quran arwah, dia ada tanda siap-siap surah Al-Mulk dengan surah Yassin.

“Saya nak ubat jiwa saya, tapi setiap kali saya mengaji mesti saya menangis, sebab saya pun guna Al-Quran dia, tapi itulah penguat saya.

“Sebelum puasa, saya ada mimpi arwah. Dia tak nak saya sedih, sebab kalau saya sedih, dia pun akan sedih, sebab itu juga saya kuat dan saya boleh kembali mengajar,” katanya.

Felda Wani berkata, ketika sakit, Thaqif masih sempat menulis nota serta meninggalkan catatan dalam Al-Quran yang beliau selalu baca dan berpesan kepadanya supaya sentiasa membacanya.

“Saya tidak menyangka dia menulis nota-nota itu. Memang saya tidak sangka. Yang pertama saya jumpa Al-Quran dia yang mana dia ada buat catatan sebab masa dia balik lepas saya berhentikan dia pada 31 Mac, saya ada tanya dia buat apa dan dia kata sekejap mama, abang ada kerja sekolah nak buat.

“Saya pelik juga sebab pada waktu itu saya sudah berhentikan dia sekolah, dan selepas itu dia cakap pada saya, mama abang dah tak nak mengajilah, abang dah sakit.

“Maknanya saya fahamlah dia suruh baca, dia dah tinggalkan dan tanda siap-siap. Allahuakbar…maksudnya dia nak suruh saya baca hari-hari Al-Quran, sebab itu yang dia baca hari-hari semasa di pusat tahfiz dan tiap kali balik bercuti,” katanya sambil menitiskan air mata.

Tetap akan hantar anak ke sekolah tahfiz lagi

ibu-thaqif-2

Felda Wani sekali lagi menegaskan beliau tidak menyalahkan sesiapa atas kematian Thaqif yang didakwa dipukul pembantu warden di sekolah tahfiznya.

Malah, beliau akan menghantar anak lain ke sekolah tahfiz, tetapi pemilihan sekolah akan dibuat dengan berhati-hati.

“Arwah anak lelaki saya pertama dulu pun, saya bernazar untuk dapat anak lelaki. Saya nak jadikan dia hufaz, kalau saya dapat anak lelaki dan Allah bagi dan makbulkan doa saya untuk dapatkan anak lelaki.

“Saya ada 2 lagi anak lelaki, selain 2 anak perempuan. Insya Allah saya akan hantar anak lelaki saya ke sekolah tahfiz.

“Sebabnya, kita ini bila dah mati esok dah tak ada apa lagi yang ditinggalkan, hanya amalan kita saja, anak yang soleh dan kita pun tak tahu bagaimana anak kita nanti,” katanya sambil menjelaskan Thaqif dihantar ke sekolah tahfiz atas kerelaannya sendiri, bukan dipaksa.

Dalam wawancara hampir 2 jam, Felda Wani turut memuji sikap Thaqif yang bersopan santun dan menghormati orang tua.

“Arwah tak suka orang yang ganas, kadang-kadang adik dia ajak bertumbuk pun dia tak suka. Dia tak suka orang kasar-kasar dan kalau dekat rumah, kawan-kawan dia bukan sebaya dengan dia pun, tapi budak-budak sekolah menengah jadi kawan dia.

“Dia mudah mesra dengan orang, sama dengan sifat bapa dia,” katanya.

Pada 11 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramanian dilaporkan berkata, laporan bedah siasat kaki Thaqif akan diketahui dalam tempoh 1 hingga 2 minggu lagi kerana HSI sedang melakukan siasatan ke-2 selepas meneliti laporan bedah siasat kaki pelajar berkenaan.

Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu warden di sekolah tahfiz terbabit untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000, selepas polis mengesahkan kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Thaqif, pelajar tahfiz yang hilang kaki, meninggal dunia

Keluarga Thaqif desak KKM dedah hasil laporan bedah siasat ke-2

Ibu bapa Thaqif redha tetapi tagih jawapan


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments