Beraya di Kajang, tetapi dari belakang tirai besi
Amat jelas yang 2 banduan wanita, satu atas kesalahan dadah dan satu lagi kes dera anak, tidak teruja dengan Aidilfitri.
Abang Zam, 46, merengkok di sini sejak 5 tahun lalu, dan perlu menghabiskan setahun lagi hukuman yang dijatuhkan ke atasnya selepas disabit kesalahan dadah.
Seperti tahun-tahun lalu, pihak penjara akan memberikan peluang kepada ahli keluarga melawat banduan pada Hari Raya pertama. Tetapi Abang Zam tidak teruja.
Tidak perlu pun merasa gembira, katanya kepada FMT, kerana dia tidak pernah dilawati oleh keluarga.
“Saya amat sedih kerana keluarga tidak pernah hadir melawat terutama semasa Hari Raya Aidilfitri.
“Mungkin keluarga malu kerana saya dimasukkan ke penjara dan disebabkan itu tidak mahu melawat,” kata wanita yang berasal dari Bangsar itu, ketika ditemui di Penjara Wanita Kajang baru-baru ini.
Tetapi apa yang membuatkan bekas pengurus syarikat ini berasa teruja ialah berita yang dia akan dibebaskan awal tahun hadapan.
“Saya mahu menjaga ayah saya kerana beliau kini sedang sakit.”
Abang Zam berkata dia juga mahu mendirikan rumah tangga.
“Saya pernah dua kali putus tunang,” katanya menceritakan kisah hidupnya.
Katanya, penjara mendidiknya dengan pelbagai perkara baharu.
“Jika dahulu saya tidak solat 5 waktu, kini saya solat 5 waktu. Dulu juga saya tidak pandai mengaji tetapi kini saya pandai dan juga pandai memasak,” katanya yang ditugaskan bekerja di bahagian kantin di penjara itu.
Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Nurul, 27, melahirkan rasa sedih kerana ini merupakan kali pertama dia tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya.
“Mak juga selalu datang dan jumpa saya dan menyatakan sedih dan tidak menjangkakan nasib yang menimpa saya,” katanya yang menangis apabila mengenangkan nasib menimpanya.
Nurul yang sudah bercerai berkata kesedihan itu sedikit terubat kerana masih bersama anaknya yang berusia 8 bulan di penjara.
“Dengan adanya anak saya ini, kesedihan itu sedikit berkurang dan saya juga tidak berasa sunyi kerana dia juga ada bersama saya menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang memangku anak perempuannya ketika wawancara.
Nurul dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan pada Mei lalu kerana dituduh mendera anak perempuannya yang kini berusia 4 tahun.
Dia akan dibebaskan pada Oktober nanti.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Selepas bebas nanti saya ingin mencari kerja bagi menyara 2 anak perempuan saya. Anak perempuan saya yang sulung juga kini sedang dijaga oleh mak ayah saya,” katanya yang pernah menjadi sukarelawan Pertahanan Awam.