Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Selamat Hari Raya… dari bawah jambatan

 | June 25, 2017

Eduar dan 18 ahli keluarganya sekali lagi beraya di 'rumah' mereka.

VIDEO INSIDE

raya-bawah-jambatanKLANG: Tahun ini, Eduar Kadir dan 18 ahli keluarga termasuk menantu dan cucu sekali lagi menyambut Aidilfitri bersama.

Cuma bezanya, mereka berkampung di bawah sebuah jambatan di Jalan Kem dekat Pelabuhan Klang.

Eduar, 60, sudah 5 tahun tinggal di situ, bersama-sama dengan 9 orang anak, 4 menantunya dan 5 cucu.

Rumah yang dibina di bawah jambatan itu menggunakan papan nipis berbumbungkan zink terpakai, dan terletak betul-betul di tepi lebuh raya.

Bekalan air dan elektrik pula diperolehi melalui bantuan jiran, sebuah penempatan nelayan, disambungkan ke “rumah” mereka.

“Tidak ada kampung. Sambut Aidilfitri di sini selama-lamanya. Raya biasa-biasa sahaja, beli kuih sedikit dan dapat masak nasi lemak pada hari pertama Aidilfitri nanti.

“Sudah cukup,” kata Eduar ketika dilawati FMT.

“Baju raya pula dapat satu pasang untuk saya, anak dan cucu. Yang penting anak dan cucu saya dapat beraya,” katanya.

Sebelum ini, kisah Eduar mendapat perhatian, dan ada yang menyalahkan pihak berkuasa yang dituduh tidak membantu.

Semuanya bermula selepas keluarga besar itu terpaksa mengosongkan rumah mereka kerana tidak mampu membayar sewa bulanan.

Eduar berasal dari Riau, Indonesia, dan berhijrah ke Malaysia pada 1979 untuk mencari rezeki, sebelum bertemu jodoh dengan wanita warga tempatan, Azizah Busu.

Buruh binaan yang bekerja memasang cerucuk ini terpaksa menjadikan jambatan itu sebagai tempat berteduh kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih selesa.

“Masih tertekan kerana anak ramai dan kalau ada duit, baru beli makanan. Gaji saya pun sebulan hanya RM800, manakala anak-anak saya hanya seorang yang bekerja. Itu pun yang bongsu berumur 15 tahun.

“Lagi nak tangung 2 orang anak yang masih bersekolah berumur 7 dan 9 tahun. Kalau nak ikut memang tidak mampu sebab wang tiada tetapi diam sahaja. Makan itu biasa sahaja, kadang hanya makan lauk telur dengan ikan bilis sahaja.

“Paling mewah dapat makan lauk ayam dengan ikan pun dah cukup. Itu pun hasil bantuan anak-anak. Kalau ada rezeki lebih, mereka menangkap ikan di sungai,” katanya.

Terima bantuan

Sejak kisahnya tersebar, semakin banyak bantuan diterima Eduar.

Yang terkini, ada rancangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkannya sebuah rumah di Bukit Raja, Klang.

Eduar juga menerima bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak, telur, di samping wang tunai.

“Saya bersyukur dan tidak dapat saya balas. Hanya Allah sahaja dapat balas jasa mereka. Saya ucap terima kasih. Saya tak dapat nak bayar balik dengan wang dan tenaga saya,” katanya.

Menantu Eduar, Mazlan Delbino, 23, merasai kesempitan keluarga itu, tetapi kemalangan yang dialaminya menyebabkan dia sukar bekerja seperti dulu.

Dia kini bekerja mengutip barang kitar semula, dengan pendapatan harian RM20 yang sedikit sebanyak dapat membantu ayah mertuanya.

“Sanggup cari barang kitar semula, janji mereka bahagia, tersenyum dan anak-anak saya boleh makan,” kata bapa kepada 2 orang anak itu yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Mazlan merindui kampung halamannya di Sabah, tetapi terpaksa melupakan hasratnya membawa keluarganya beraya di sana.

“Rasa sedih nak balik kampung untuk jumpa ibu bapa saya. Sudah hampir 4 tahun dah tak balik. Niat nak bekerja tetapi jumpa jodoh di sini. Sedih juga lihat orang lain senang tetapi apa yang kita dan anak-anak nak tak dapat.

“Ada juga yang terluka dan bahagia. Janji anak-anak dan adik beradik dapat beraya.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments