Zakir Naik dakwa 10 negara Islam tawar warganegara
Dalam wawancara disiarkan menerusi Al Majd TV, Zakir menafikan laporan sebelum ini yang beliau menerima kewarganegaraan lain tetapi berbangga kerana ditawarkan kewarganegaran oleh banyak negara.
PETALING JAYA: Pendakwah berkontroversi Dr Zakir Naik, yang dikehendaki untuk siasatan berkaitan keganasan di India, mendakwa ditawarkan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya oleh 10 kerajaan tetapi belum memutuskan pilihannya.
Dalam wawancara disiarkan menerusi saluran Arab Saudi, Al Majd TV, Zakir yang merupakan warganegara India, menafikan laporan sebelum ini beliau menerima kewarganegaraan lain tetapi berbangga kerana ditawarkan kewarganegaran oleh banyak negara.
Kelmarin, akhbar The Hindu melaporkan Zakir berkata demikian dalam temu bual dengan saluran itu di Riyadh seminggu sebelumnya.
“Saya tidak membuat keputusan mengenai sama ada saya perlu mengambil warganegara negara lain kerana kesukaran yang saya hadapi berdasarkan dakwaan yang tidak berasas [di India],” kata Zakir.
“Dengan rahmat Tuhan, saya diberikan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya 10 negara Islam,” katanya.
“Mungkin pada masa akan datang, saya akan terima jika sesuai, walaupun menurut (teks Islam), jika orang menganiaya saya kerana fikiran saya, saya harus melindungi diri saya.”
Laporan akhbar The Hindu mengatakan Zakir adalah antara beberapa sarjana Islam yang diharamkan di India telah diberikan taraf pendudul tetap (PR) oleh Malaysia.
Ia berkata Zakir menggunakan Malaysia sebagai pangkalan dan bergerak sangat kerap ke Arab Saudi.
Ia menambah, Zakir telah diharamkan di United Kingdom dan Kanada kerana ucapan kebenciannya terhadap agama-agama lain, dan kini ditentang oleh para aktivis di Lubnan daripada memasuki negara itu kerana ucapan-ucapannya yang melampau.
Pada bulan Jun tahun lalu, Bangladesh mengharamkan saluran TV Peace of Naik atas tuduhan ia mencetuskan keganasan dan pada bulan November, India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) selama 5 tahun.
Pada 30 Mei, Press Trust of India (PTI) melaporkan, Zakir memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Ia memetik sumber Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) sebagai mengatakan bahawa walaupun Zakir telah memohon kewarganegaraan, kerajaan Malaysia menyedari keseriusan tuduhan terhadapnya.
Bulan lalu, portal Middle East Monitor melaporkan Zakir memperoleh kewarganegaraan Arab Saudi.
Laporan itu menyebut Raja Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud telah campur tangan untuk menganugerahkan Zakir kewarganegaraan bagi mengelak beliau daripada ditahan Interpol.
Portal dakwa Zakir Naik peroleh warganegara Saudi
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram