Mengapa enggan ambil JKR kaji jalan, soal Umno P Pinang
Umno Pulau Pinang menolak dakwaan DAP bahawa tiada pakar tempatan boleh melakukan kajian pembinaan 3 jalan di bawah projek terowong dasar laut.
NIBONG TEBAL: Umno Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP yang sanggup membayar RM209 juta kepada firma luar daripada bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian pembinaan 3 jalan di bawah projek terowong dasar laut.
Pengerusi Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dakwaan DAP bahawa tiada pakar tempatan yang boleh melakukan kajian itu adalah tidak masuk akal memandangkan JKR bukan sahaja mempunyai pelbagai jenis kepakaran tetapi juga membina jalan raya di negara ini tanpa masalah.
“Akibat bersikap sombong, kerajaan negeri terpaksa melantik perunding untuk melakukan kajian bagi pembinaan ketiga-tiga jalan pada kadar yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Umno Nibong Tebal dan Adun Sungai Acheh di Permatang Keling, di sini hari ini.
Zainal turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membuat pembayaran penuh sedangkan masih banyak perkara berkaitan projek terbabit belum siap.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kerajaan negeri harus berikan penjelasan kerana Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar sedang dijalankan dan belum diluluskan manakala bantahan terhadap pelaksanaan projek ini masih boleh dikemukakan sehingga 19 Julai,” katanya.