Pasukan khas siasat kejadian samun kapal tangki Thai
Semalam kapal tangki CP41 yang membawa muatan diesel dari Singapura disamun sekumpulan lanun yang mencuri 1.5 juta liter minyak diesel.
KUANTAN: Satu pasukan siasatan khas diwujudkan bagi menyiasat kejadian samun melibatkan kapal tangki milik syarikat Thailand membawa minyak diesel pada 23 Jun lalu, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Zulkifili Abu Bakar.
Beliau berkata pihaknya juga berhubung dengan Pusat Penyelarasan dan Penguatkuasaan Thailand bagi menyelaraskan siasatan dan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kejadian itu.
Katanya Maritim Malaysia juga bekerjasama dengan penguat kuasa dari negara jiran termasuk Angkatan Laut Armada Barat Indonesia dan polis pengawal pantai Singapura memandangkan kejadian itu melibatkan jenayah rentas sempadan.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat berkongsi maklumat dan risikan khususnya bagi mencegah kejadian sama daripada berulang dan juga untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan kapal tangki dikenali CP41 yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla,Thailand dari Singapura disamun sekumpulan lanun yang mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan dibawa kapal terbabit.
Kejadian berlaku kira-kira 9.00 malam di perairan Kuantan apabila kapal tangki itu dinaiki kumpulan lanun yang turut mengikat kapten dan 17 anak kapal serta memusnahkan peralatan sistem amaran keselamatan kapal.
Kapal itu bagaimanapun dilaporkan meneruskan pelayaran ke Thailand dan selamat tiba di perairan Songkla petang kelmarin.
Zulkifili berkata APMM juga menggerakkan aset dan meningkatkan rondaan menggunakan kapal serta pesawat udara di kawasan panas dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Beliau juga menasihatkan pihak perkapalan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dengan lebih proaktif bagi menangani jenayah samun pada masa depan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Dalam kes membabitkan CP41, Maritim Malaysia hanya menerima maklumat mengenai kejadian selepas hampir 21 jam insiden berlaku,” katanya.