MIC tutup isu kontraktor makanan India, kata Ramasamy
Timbalan Menteri P Kamalanathan perlu menjelaskan garis panduan yang tidak dipatuhi kontraktor itu atau mengapa gagal mematuhinya.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan cuma usaha perhubungan awam untuk menutup isu itu.
“Selalunya, sukar untuk pastikan Kamalanathan menyebelahi siapa. Adakah beliau wakil rakyat India atau mewakili pihak pengurusan institusi pendidikan?
“Tidak diketahui sama ada beliau faham pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India.
“Hinggakan beliau menjadi ‘tukang angguk’ untuk mereka yang berkuasa daripada seseorang yang benar-benar berminat memperjuangkan kepentingan orang India yang miskin dan tertindas,” kata Ramasamy kepada FMT.
Ramasamy berkata oleh kerana Kamalanathan mengaku tidak tahu apa yang berlaku, penjelasan mengatakan kontraktor makanan itu ditamatkan atas “sebab pentadbiran” boleh dipertikaikan.
Beliau berkata Kamalanathan perlu menjelaskan apakah garis panduan yang tidak dipatuhi atau mengapa kontraktor tersebut gagal mematuhinya.
Kamalanathan menafikan dakwaan kontraktor makanan India itu diberi notis atas sebab perkauman tetapi kerana “isu pentadbiran”.
Beliau berkata 3 kontraktor lain yang berbangsa Melayu dan juga beroperasi di kantin politeknik itu juga ditamatkan.
“Sepertimana tindakannya sebelum ini, Kamalanathan terkenal kerana menangani masalah yang dianggap perkauman dan tidak sensitif,” kata Ramasamy.
“Beliau cuma tidak jujur dan tiada komitmen untuk menangani sesuatu perkara secara terus.
“Oleh kerana beliau tidak tahu apa yang berlaku di institusi itu secara terperinci, bagaimana boleh katakan penamatan kontrak itu atas sebab perntadbiran dan bukan perkauman? Kenyataannya sangat meragukan.”
Ramasamy berkata apa yang menimpa kontraktor India itu cuma sebahagian kecil dari masalah “dasar pro-Melayu terang-terangan” kerajaan persekutuan sekarang ini.
Beliau berkata disebalik penafian itu, ramai bukan Melayu masih percaya kontraktor makanan itu mangsa diskriminasi kaum dan agama.
Ramasamy berkata sejak kebelakangan ini, dasar pro-Bumiputera dalam projek kerajaan, kecil dan besar, tidak boleh dicapai bukan Melayu.
“Ini kebenarannya dan parti komponen bukan Melayu dalam BN berkelakuan seolah mereka tidak tahu mengenainya.
“Ini kelemahan parti politik itu yang menghalang bukan Melayu daripada melibatkan diri secara penuh dalam projek yang dianugerahkan kerajaan persekutuan.
“Malah kontrak kutipan sampah juga tidak diberikan kepada bukan Melayu, terutamanya dalam kumpulan kategori bawahan.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
FMT menghubungi Kamalanathan untuk mendapatkan respon beliau.