Trump makin geram dengan China, pertimbang tindakan dagangan
Donald Trump geram kerana China tidak mengambil tindakan terhadap Korea Utara dan isu dagangan 2 hala.
Mereka berkata Trump sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk tarif ke atas import besi keluli, yang menurut Setiausaha Komersil Wilbur Ross pernah berkata ia sebahagian daripada kajian melindungi industri besi keluli Amerika Syarikat.
Belum jelas sama ada Trump akan mengambil langkah terhadap China.
Pada April, beliau tidak melaksanakan ancaman untuk menarik diri daripada NAFTA selepas beliau berkata pemimpin Kanada dan Mexico menghubunginya dan meminta menghentikan arahan eksekutif itu bagi membuka ruang kepada perbincangan.
Pegawai berkata belum ada kata sepakat mengenai China dan mereka tidak memberitahu apakah pilihan lain yang sedang dikaji.
Seorang pegawai kanan berkata dijangka keputusan tidak akan tercapai minggu ini.
Besi keluli China dikenakan berpuluh arahan anti-lambakan dan anti-subsidi. Akibatnya ia hanya mengambil sebahagian kecil pasaran AS.
“Apa yang mendorong ialah beliau berkempen untuk melindungi industri AS dan pekerjanya,” katanya seorang pegawai, merujuk kepada janji pilihan raya Trump pada 2016 yang berikrar akan mengambil sikap tegas terhadap China dalam isu perdagangan.
Berkenaan Korea Utara pula, Trump “merasakan China diberi peluang untuk melakukan perubahan” tetapi tidak berhasil, kata pegawai itu.
Amerika Syarikat mendesak China mengenakan lebih banyak tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas Korea Utara bagi membantu mengekang program nuklear dan peluru berpandu. Beijing berulang kali berkata pengaruhnya ke atas Korea Utara sangat terhad tetapi sedang melakukan setakat termampu.
“Tidak banyak yang mereka lakukan,” kata pegawai itu. “Kalau Trump tidak dapat apa yang beliau mahu, beliau perlu teruskan agenda berkenaan dagangan dan Korea Utara.”
Duta AS ke China Terry Branstad yang tiba di Beijing pada Selasa bercakap kepada pemberita di luar kediamannya hari ini dan berkata AS mahu bekolaborasi dengan China.
“Kita perlu bekerjasama untuk menangani beberapa isu mendesak dan sukar seperti ancaman Korea Utara,” katanya.
Kematian pelajar universiti AS Otto Warmbier minggu lalu, selepas dibebaskan dari pemenjaraan 17 bulan di Pyongyang, merumitkan pendekatan Trump terhadap Korea Utara.
Trump memberi isyarat beliau berdukacita dengan usaha China di Twitter minggu lalu: “Walaupun saya menghargai usaha Presiden Xi dan China untuk membantu kami dalam isu Korea Utara, ia tidak berhasil. Sekurang-kurangnya saya tahu China mencuba!”
Trump menyatakan hasrat menjalin hubungan mesra dengan Presiden China Xi Jinping semasa menjadi tuan rumah kepada Xi pada April di kediamannya di Palm Beach, Florida.
“Saya fikir China akan meningkatkan usaha mereka,” kata Trump ketika itu.
Bagaimanapun, ujian peluru berpandu jarak jauh Korea Utara terus berlaku tanpa henti dan ada laporan mengatakan mereka melakukan persiapan untuk melancarkan ujian nuklear bawah tanah.
Pada Khamis lalu, Trump tampil di pertemuan antara penasihat keselamatan negara di Rumah Putih H.R McMaster, penasihat kanan Trump, Jared Kushner dan Ahli Majlis Kerajaan China Yang Jiechi, menurut seorang pegawai.
Ketidakmampuan China mencapai kemajuan dalam isu Korea Utara antara topik yang dibincangkan, menurut 2 individu yang maklum akan mesyuarat itu.
Dalam kenyataan minggu lepas, kementerian luar negeri China berkata Yang bertemu McMaster dan Kushner tetapi tidak mengulas lanjut.
Jurucakap kementerian Lu Kang tidak menjawab soalan secara terus mengenai mesyuarat itu, sebaliknya berkata China dan AS berbincang mengenai Korea Utara antara isu lain, dalam dialog keselamatan yang dihadiri Yang.
Yang juga mengadakan pertemuan lain dengan Trump. Kementerian berkata minggu lalu Yang memberitahu Trump yang China sedia bekerjasama dengan semua pihak, termasuk AS, untuk mengurangkan ketegangan di semenanjung Korea dan mempromosikan penyelesaian “sewajarnya”.
Trump bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi pada Isnin di Rumah Putih dan berkata AS, India dan Jepun akan mengadakan latihan ketenteraan laut di Lautan Hindi tidak lama lagi, kenyatan yang nampak seperti menyasarkan pesaing India, Beijing.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Trump berterima kasih kepada India kerana menyertai AS mengenakan sekatan baharu terhadap Korea Utara.