Zaid beri perbandingan bilik bedah, jawab tuduhan ‘tolak doa’
Bekas menteri itu turut menyifatkan kenyataan seorang pemimpin PAS sebagai lahir daripada sikap ‘sombong’ yang menjadi ‘penyakit lama’ ahli parti itu.
“Bila enjin pesawat bergegar nak tercabut atau mengalami masalah, saya percaya semua penumpang telah pun berdoa melalui cara masing-masing ketika itu. Tak payahlah juruterbang menambahkan lagi kerisauan mereka,” kata Zaid hari ini.
Semalam, Pengerusi AirAsia Bhd mempertahankan juruterbang AirAsia X flight D7237 kerana meminta penumpang berdoa ketika kecemasan dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah balik Ahad lepas.
“Apa salahnya meminta orang berdoa mengikut agama masing-masing terutamanya apabila kamu dalam keadaan yang sukar, memohon pertolongan Tuhan sambil melakukan apa yang termampu dengan kekuatan sendiri?” soal Datuk Kamarudin Meranun.
Dalam jawapannya, Zaid berkata beliau bukan mempersoalkan naluri manusia berdoa.
“Untuk pengerusi AirAsia, saya katakan di sini, isunya bukan apakah baik meminta ‘divine intervention’ (pertolongan Tuhan) tetapi apakah wajar juruterbang meminta penumpang berbuat demikian,” katanya.
Bilik bedah
Zaid berkata ramai yang “menghentamnya” tidak faham dengan kenyataannya itu.
“Bila enjin pesawat bergegar nak tercabut atau mengalami masalah, saya percaya semua penumpang telah pun berdoa melalui cara masing-masing ketika itu. Tak payahlah juruterbang menambahkan lagi kerisauan mereka,” katanya.
Bekas menteri yang kini menyertai DAP itu turut membuat perbandingan saat kecemasan di atas pesawat dengan situasi ketika pembedahan.
“Katakan anda dibedah oleh seorang pakar jantung, tiba-tiba semasa pembedahan, dia terus meminta semua keluarga termasuk anda sendiri untuk membaca doa. Bukankah itu menunjukkan anda dalam keadaaan tenat dan mungkin mati? Apakah ini yang kita mahu dari juruterbang dan pakar bedah kita?”
Zaid turut menolak anggapan yang menuduhnya tidak berdoa, seperti dicadangkan ahli Parlimen PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
Sambil menyelar pemimpin PAS itu “sombong dan menganggap dirinya alim”, Zaid berkata sikap sedemikian ialah “penyakit lama di kalangan ahli PAS”.
“Nik Abduh membuat banyak tuduhan lain yang menghina saya dalam Facebook beliau, dan saya tidak mudah lupa. Saya akan membuat tindakan susulan yang lain di masa depan,” kata Zaid.
Nik Abduh dalam kiriman Facebook mempersoalkan Zaid sambil berkata “bila agaknya Zaid berdoa kepada tuhannya?”
“Saya doakan saatnya nanti, fitrah Dato Zaid Ibrahim akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya,” kata pemimpin PAS itu.
Zaid berkata isu sama ada dibolehkan berdoa atau tidak “tidak timbul” dan menganggap Nik Abduh tidak faham komennya.
“Sebenarnya ini tidaklah mengejutkan, kerana Nik Abduh juga tidak memahami 1MDB, satu perkara yang mudah diafahami,” katanya.
Bos AirAsia pertahan juruterbang minta penumpang berdoa semasa kecemasan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram