Rumah jagaan orang tua – masa untuk pecahkan stigma
Banci menunjukkan hampir 1 daripada 3 rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas ditinggalkan anak mereka.
Stigma terbukti perkara yang paling mencabar bagi pengendali rumah jagaan orang tua dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganya.
Persepsi negatif biasa ditujukan kepada anak-anak yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua, mereka dianggap tidak mengenang budi dan tidak hormat.
Bagaimanapun, anak bukan satu-satunya sasaran pandangan negatif itu – pemilik dan pekerja rumah jagaan mengakui mereka rasa ditindas oleh orang ramai.
Pemilik rumah jagaan di Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, mendakwa masyarakat tidak selasa dengan rumah jagaan.
“Orang ramai melihat seolah-olah kami menggalakkan anak meninggalkan ibu bapa mereka di sini,” kata Rashid kepada FMT, dan menambah persepsi negatif salah satu faktor mengapa sesetengah anak gagal menjaga ibu bapa mereka.
Yuhazlina, 34, seorang penyelia rumah jagaan, mendakwa masyarakat terlalu mudah menghukum rumah jagaan sehinggakan mereka tidak dapat melihat alternatif positif dan khidmat sokongan yang mereka tawarkan.
“Menghantar ibu bapa ke sini tidak bermakna mereka ditinggalkan,” kata Yuhazlina sambil menambah menghantar ibu bapa yang sakit ke rumah jagaan yang betul akan membantu mengawal isu pembuangan ibu bapa.
“Kami tidak menuduh sesiapa membuang orang tua mereka tetapi ada beberapa kes yang berlaku di mana orang tua ditinggalkan di perhentian bas dan kawasan awam,” katanya.
Banci yang dijalankan pada 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir 1 daripada 3 rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas ditinggalkan oleh anak mereka.
Terdapat kira-kira 675,000 ibu bapa tua di negara ini yang tidak mendapat sokongan kewangan daripada anak mereka, menurut tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004.
Sementara itu, menurut Yuhazlina, bukan semua anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan tidak berhati perut dan sedia memberikan ibu bapa mereka kepada orang asing.
“Sesetengah daripada mereka akan berasa sangat bersalah dan tidak mahu meninggalkan ibu bapa mereka di rumah jagaan,” katanya sambil menambah “tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain.”
Dilema anak
Yuhazlina berkata, kebanyakan anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan berada dalam dilema antara kerjaya dan menjaga ibu bapa.
Beliau mendakwa peningkatan kos sara hidup dan pemodenan salah satu faktor mengapa sesetengah anak terpaksa menghantar ibu bapa ke rumah jagaan.
Di samping itu, dalam sesetengah kes, orang tua sedia tinggal di rumah jagaan kerana menyedari mereka akan mendapat penjagaan yang baik dari golongan profesional.
Bercakap tentang sokongan perubatan profesional, Yuhazlina mendakwa lebih selamat jika ibu bapa yang sakit dijaga golongan profesional berbanding mengupah pembantu rumah yang tidak layak menjaga orang tua yang mengalami masalah kesihatan.
“Kebanyakan kita bekerja yang di sini pengamal perubatan yang berkelayakan dan kami mempunyai pengalaman menjaga orang sakit,” katanya.
“Walaupun kebanyakan pembantu rumah tidak mempunyai latar belakang perubatan, namun kami terlatih dan mempunyai peralatan perubatan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pembantu rumah yang berpengalaman menjaga pesakit tua.
Dari segi perkhidmatan, beliau mendakwa kebanyakan rumah jagaan yang berdaftar dan dikawal selia menyediakan perkhidmatan yang memuaskan dan berprofesional kepada orang tua.
Yuhazlina juga menambah mereka menyediakan prosedur dan keselamatan sistematik untuk memastikan semua warga tua dijaga dengan baik.
Bercakap kepada FMT, Rashid sanggup berkongsi beberapa kes yang diterimanya di rumah jagaannya di Kuala Lumpur.
Mak Ti (bukan nama sebenarnya) berusia 74 tahun tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama saudara-maranya sehingga mereka meninggal dunia tidak lama dahulu.
Menurutnya, Mak Ti tidak berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik dan saudara-maranya terpaksa menghantarnya ke rumah jagaan. Saudara-maranya mengumpul duit daripada ahli keluarga untuk membayar khidmat sokongan untuknya.
Seorang lagi warganya, Nek Tom, 68, terpaksa dimasukkan ke rumah jagaan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya kerana penyakitnya.
“Dia mempunyai seorang anak lelaki, tetapi dia memerlukan rawatan perubatan berprofesional kerana dia didiagnosis menghidapi demensia dan memerlukan penjagaan berterusan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
* Ivy Chong menyumbang kepada laporan ini.