Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kaedah harga minyak harian belum muktamad, kata Hamzah

 | July 5, 2017

Hamzah Zainudin berkata, kaedah penetapan harga minyak harian tidak boleh dilakukan jika syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan pengguna tidak memahami kaedah turun naik harga ditetapkan kerajaan.

hamzah-petrol-1

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum membuat keputusan muktamad berhubung mekanisme penetapan harga petrol dan diesel secara harian.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mekanisme harga mingguan sedia ada akan dikekalkan sehingga perubahan dibuat mengikut kesesuaian.

Katanya, kaedah penetapan harga harian tidak boleh dilakukan sekiranya syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan pengguna gagal memahami kaedah turun naik harga yang ditetapkan kerajaan.

“Buat masa ini, kita masih di peringkat pengumuman (harga minyak) setiap minggu.

“Kita akan lakukan ini sehingga satu masa yang kita rasakan semuanya sudah memahami tanggungjawab masing-masing, sama ada syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan juga pengguna,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran kementeriannya di Menara Bank Rakyat, hari ini.

Semalam, Hamzah dilaporkan berkata, KPDNKK akan memperkenalkan formula baharu tidak lama lagi berhubung mekanisme penetapan harga petrol dan diesel daripada setiap minggu kepada harian.

Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mencapai situasi menang-menang.

Mengulas lanjut, Hamzah hari ini berkata, pihaknya bercadang memperkenalkan satu aplikasi bagi memudahkan pengguna mendapat maklumat harga terkini petrol dan diesel.

“Pengguna ini mereka kena ada satu kumpulan yang bantu-membantu, nanti akan ada satu aplikasi yang mereka boleh guna untuk memberitahu rakan-rakan di mana tempat yang jual murah, stesen minyak mana, syarikat minyak mana dan perkara itu kita akan lakukan,” katanya.

Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac lalu dan pengumuman harga baharu dibuat setiap Rabu dan ia akan dikuatkuasakan selepas tengah malam Rabu.

Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Hamzah: Harga minyak mungkin ditetap secara harian


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments