Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Raus Sharif sandang ketua hakim negara untuk 3 tahun lagi

 | July 7, 2017

Ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan

Raus-Sharif2KUALA LUMPUR: Tan Sri Md Raus Sharif akan menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh 3 tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini menyatakan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh 2 tahun mulai 28 September ini, pula memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal 1 Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

“Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat ketua hakim negara pada ketika itu, Tun Arifin Zakaria, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, cadangan dan nasihat berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan aturcara tersebut juga selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.

“Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia sedang menimbangkan pembentangan cadangan di Parlimen untuk pindaan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, untuk meningkatkan umur persaraan bagi hakim-hakim Mahkamah Apex kepada 70 tahun. Ini adalah selaras dengan amalan dan jurisprudens Komanwel dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Pada 1 April lepas, Md Raus dilantik sebagai ketua hakim negara ke-14 bagi menggantikan Arifin yang bersara di usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lepas manakala Zulkefli dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Md Raus.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, perkhidmatan Arifin sebagai ketua hakim negara, Md Raus sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan Zulkefli sebagai hakim besar Malaya dilanjutkan selama 6 bulan.

Perkhidmatan Md Raus dalam badan kehakiman dilanjutkan dari 4 Februari ke 3 Ogos ini manakala perkhidmatan Zulkefli dilanjutkan dari 28 Mac hingga 27 September ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments