Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Bukan tak mampu, tetapi peminjam ingkar bayar PTPTN’

 | July 16, 2017

Menteri pendidikan tinggi berkata, kaji selidik Bank Negara menunjukkan segelintir peminjam ingkar membayar pinjaman PTPTN, tetapi mampu menjelaskan pinjaman lain, termasuk kenderaan dan perumahan.

idris-jusoh-ptptn

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai pendapatan sengaja memilih untuk tidak membayar hutang mereka walaupun mampu berbuat demikian.

Katanya, kaji selidik Bank Negara menunjukkan segelintir peminjam yang ingkar membayar balik pinjaman PTPTN, pada masa sama mampu menjelaskan pinjaman mereka yang lain, termasuk pinjaman kenderaan dan perumahan.

“Bank Negara ada jumpa saya, mereka tunjuk satu kajian yang mereka sendiri buat. Mengikut kajian itu, orang tidak bayar PTPTN, tetapi pada masa yang sama mereka membayar pinjaman kereta, rumah dan kad kredit.

“Kerana apa (tidak bayar PTPTN)? Sebab tak nak, bukan sebab mereka tidak mampu,” katanya dalam sesi taklimat di Bengkel Latihan dan Simulasi Perbahasan Parlimen Mahasiswa hari ini.

Beliau mengulas soalan peserta program berkenaan yang mahu tahu kewajaran peminjam PTPTN disenarai hitamkan Bank Negara.

Justeru, Idris berkata, PTPTN perlu lebih tegas terhadap peminjam ingkar, namun tidak sehingga menganiaya peminjam.

“Sesiapa yang rasa dianiayai boleh berbincang dengan PTPTN. Saya akan bela pelajar itu sendiri,” katanya yang turut menasihatkan mereka menghadapi masalah untuk membayar supaya tidak mendiamkan diri, sebaliknya berbincang dengan PTPTN sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, Idris menegaskan bayaran yuran bagi universiti awam di Malaysia antara terendah di dunia dan sejak beliau menjadi menteri tiada kenaikan dikenakan sehingga kini.

“Yuran kita paling tinggi pun sekitar RM3,000, kos sebenar RM30,000. Jadi, hanya 10% sahaja bayar. Universiti Teknologi Mara pula yuran hanya RM400 1 semester,” katanya yang menyifatkannya caj amat berpatutan.

Beliau secara sinis turut mengkritik pembangkang yang kononnya mahu menyediakan pendidikan percuma, namun masih tidak mampu berbuat demikian walaupun di Universiti Selangor (Unisel), seliaan kerajaan negeri Selangor.

“Pembangkang janji pendidikan percuma pada pilihan raya lalu. Selangor negeri terkaya di Malaysia, tetapi kalau tak kerana saya arahkan PTPTN masuk tolong mereka, Unisel pun tutup.

“Jangan cakap sahaja, dia (pembangkang) cakap kerana nak mengapi-apikan pelajar kita. Kalau nak buat di Unisel dahulu,” tambahnya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments