Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Nazri cadang pemandu teksi jadi pemandu pelancong sambilan

 | July 17, 2017

Kementerian akan anjurkan kursus percuma untuk melatih pemandu teksi menjadi pemandu pelancong sambilan.

nazri-teksi

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang terkesan dengan kemunculan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) akan diberi peluang untuk menambah pendapatan dengan mengambil tugas tambahan sebagai pemandu pelancong di bawah rancangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata kementerian sedang melihat kursus untuk pemandu teksi bagi mempersiapkan dan membolehkan mereka menjadi pemandu pelancong sambilan.

“Kementerian boleh menganjurkan kursus khas untuk pemandu teksi yang berminat,” katanya.

“Kemudian kita akan keluarkan pelekat ‘pemandu teksi ini sudah menjalani kursus dengan kementerian’, supaya pelancong lebih meyakini perkhidmatan mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kursus itu berhasrat untuk membantu pemandu teksi yang terkesan dengan penurunan permintaan dengan kemunculan perkhidmatan perkongsian kenderaan. Kursus itu tidak terbuka kepada pemandu Grab dan Uber.

Nazri berkata kursus itu akan disediakan percuma untuk mereka yang layak, dan berikrar untuk meratakan persaingan antara pengusaha teksi dan perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Beliau berkata pemandu teksi boleh memainkan peranan sebagai pemandu pelancong sambil menikmati keistimewaan sedia ada yang diberikan kepada mereka.

Ditanya sama ada cadangan itu akan diluluskan Kabinet, Nazri berkata tiada masalah.

“Hanya al-Quran tidak boleh dipinda. Selainnya ciptaan manusia. Jadi terpulang pada saya sekiranya saya mahu bantu pemandu teksi. Tiada orang boleh halang saya,” katanya.

“Saya akan bawa ke Kabinet, dan saya akan yakinkan mereka langkah ini yang terbaik untuk pemandu teksi. Kami akan pastikan pemandu teksi kita dilindungi,” tambahnya.

Nazri berkata perkhidmatan e-panggilan juga perlu mematuhi peraturan yang dikenakan ke atas teksi.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan pada Akta Pengangkutan Awam Darat untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat bulan depan dengan matlamat mengawalselia perkhidmatan e-panggilan.

Jika pindaan diluluskan, semua pemandu e-panggilan mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan menjalankan pemeriksaan latar belakang yang ketat.

Pada 8 Januari lalu, Nazri berkata antara sebab utama Kabinet memberi lampu hijau kepada SPAD untuk membenarkan Uber dan Grab kerana tidak mahu pemandu teksi menipu pelancong lagi.

Beliau berkata reputasi pemandu teksi Malaysia menjejaskan pelancongan, tetapi pelancong tidak lagi perlu takut untuk datang ke negara ini dengan adanya Grab dan Uber.

Bagaimanapun, pengusaha industri teksi baru-baru ini membidas rancangan kerajaan membenarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Pada April, pengasas Big Blue Texi Services Datuk Shamsubahrin Ismail menggesa SPAD mengenakan denda ke atas penumpang yang menaiki Grab dan Uber.

Beliau juga menyalahkan pengguna kerana menyumbang kepada kecelaruan dalam kalangan perkhidmatan perkongsian kenderaan, SPAD dan industri teksi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments