Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Selepas hampir 8 jam, SPRM ambil 3 kotak dokumen Felda Investment Corporation

 | July 17, 2017

Pasukan penyiasat SPRM beredar dari premis FIC kira-kira jam 5.45 petang selepas tiba kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

felda-macc-1

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 8 jam, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil 3 kotak dokumen dari pejabat Felda Investment Corporation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di United Kingdom.

Pasukan penyiasat SPRM itu beredar dari premis FIC di Balai Felda, Jalan Gurney kira-kira jam 5.45 petang selepas tiba kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

felda-macc-3

Menerusi kenyataan yang diedarkan kepada media, FIC akan memberikan kerjasama bagi membolehkan pihak berkuasa memperoleh maklumat dan menyiasat perkara berkenaan.

“FIC komited untuk menyokong usaha pihak-pihak yang berkaitan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, integriti dan etika amalan perniagaan sebagai ciri utama tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

Baru-baru ini SPRM menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan, individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian dan minyak dan gas.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Samad dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.

Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio keraian, selepas Felda membayar £98 juta (RM538 juta) untuk sebuah pangsapuri perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata pihaknya tidak mengetahui bukti baharu yang ditemui SPRM.

“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut,” katanya lapor Bernama.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments