Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tidak perlu istilah Arab untuk perjuang prinsip Islam, kata Ahmad Awang

 | July 17, 2017

Penasihat umum Amanah itu menyeru pejuang Islam mementingkan keadilan untuk semua termasuk bukan Islam.

Ahmad-Awang-islam-pemimpin-masjidPETALING JAYA: Mereka yang mendakwa memperjuangkan Islam di negara ini masih dibelenggu kesempitan pemikiran, menyebabkan ada di antara mereka masih tidak melihat keadilan sejagat dan keterbukaan sebagai tuntutan agama, kata Ahmad Awang.

Penasihat umum Amanah itu berkata pemikiran sebegini sekali lagi dilihat di sebalik kritikan yang mendakwa agenda 100 hari yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini tidak memberi penekanan kepada Islam.

“Tawaran 100 hari yang dikemukakan tersebut jelas menepati matlamat menjaga maslahah rakyat dan keadilan bukan kepada orang yang beragama Islam sahaja bahkan juga kepada masyarakat bukan Islam.

“Tidak perlu meletakkan istilah Arab untuk menunjukkan ia adalah agenda Islam, cukup kita sedar matlamatnya akhirnya adalah demi kepentingan Islam,” kata bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu dalam kenyataan dihantar kepada FMT.

Khamis lalu, ketika mengumumkan barisan kepimpinan dan logo baharu, PH berjanji melaksanakan 7 perkara serta merta dalam tempoh 100 hari berkuasa sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.

Ia termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan, menstabilkan harga petrol, fokus kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat, reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah, menubuhkan suruhanjaya diaja menyiasat 1MDB dan memulihkan Felda.

Ahmad berkata tawaran itu selari dengan politik Amanah yang menurutnya berdasarkan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua.

“Politik ini berdiri atas maksud Maqasid Syariah, meliputi juzuk keadilan hak dan ketelusan politik serta membawa keuntungan dan kebaikan kepada rakyat kebanyakannya.

“Malang sekali jika kita hanya melihat agenda Islam itu dalam sisi pandang yang sangat kecil,” katanya.

Menurutnya, prinsip politik Islam menyeru kepada keadilan kepada semua termasuk bukan Islam.

“Hidup dalam sebuah negara majmuk dengan pelbagai latar belakang agama dan bangsa memerlukan kita bijak dalam setiap tindakan politik untuk menampilkan agenda Islam.”

Beliau menyeru pejuang Islam melakukan pembaharuan pemikiran mereka.

“Jika kita berjuang untuk Islam namun langsung tidak menerima konsep keterbukaan maka kita akan merasakan tindakan yang kita lakukan sahaja yang menepati agenda Islam.

“Pentadbiran Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan hanya kepentingan diri atau kelompok tertentu sahaja sehingga mengenepikan prinsip kepentingan umum,” kata Ahmad.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments