Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

India Muslim boleh dianggap Melayu, tapi bukan Bumiputera, kata pakar

 | July 20, 2017

Sejarawan veteran Khoo Kay Kim berkata istilah Melayu dan Bumiputera merujuk 2 definisi berlainan.

khoo-india-muslim-1

PETALING JAYA: Pakar sejarah Prof Khoo Kay Kim tidak setuju dengan saranan mengiktiraf India Muslim sebagai Bumiputera, sehari selepas Datuk Seri Najib Razak berjanji mengkaji sama ada status itu boleh diwartakan ke atas masyarakat itu.

“Kerajaan tidak boleh mengurniakan status Bumiputera kepada India Muslim. Tetapi jika mahu, mereka boleh dikurniakan status Melayu,” kata Khoo kepada FMT, mengulas saranan sebuah pertubuhan India Muslim pada Selasa supaya masyarakat itu diberikan status Bumiputera.

Khoo memberikan sejarah ringkas asal-usul istilah “Bumiputera”, dengan berkata ia dicipta pada 1963 untuk merujuk penduduk asal bukan Islam di Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

“Sebelum 1963, orang Melayu di Semenanjung cuma dikenali sebagai Melayu. Definisi Melayu ialah seseorang itu beragama Islam, secara tabiatnya bertutur Melayu dan mengamalkan budaya Melayu,” katanya merujuk definisi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, definisi itu lahir apabila penjajah British pada 1913 memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu, di mana ia memerlukan takrifan mengenai siapa kaum Melayu.

Katanya, seorang Bumiputera yang menganuti Islam boleh dianggap sebagai Melayu.

“Tetapi seperti yang kita tahu, Bumiputera tidak boleh beli tanah rizab Melayu, manakala Bumiputera Sabah dan Sarawak pula hanya boleh miliki tanah di negeri masing-masing,” katanya.

Khoo berkata dalam soal hak istimewa, adalah jelas ia hanya dikhaskan kepada Melayu dan Bumiputera.

“Jadi, seorang India Muslim tidak boleh dianggap Bumiputera.

“Tetapi, mereka boleh dianggap Melayu, seperti kebiasaannya di Pulau Pinang, di mana masyarakat India Muslim sudah lama dianggap sebahagian masyarakat Melayu.”

Khoo berkata Kesatuan Melayu pertama di Pulau Pinang diasaskan masyarakat India Muslim pada 1927, dan memainkan peranan besar dalam pembentukan Umno di negeri itu.

Kelmarin, Najib berkata kerajaan sedia mengkaji secara mendalam tuntutan supaya masyarakat itu diberi status Bumiputera.

“Hakikatnya, tuan-tuan dan puan-puan Bumiputera,” katanya pada majlis Hari Raya dihadiri masyarakat India Muslim di Seri Kembangan, pada Selasa malam.

“Saya terima India Muslim sebagai Bumiputera. Soal bagaimana dilaksanakan, kita akan kaji lagi sama ada pentadbiran atau pewartaan,” katanya.

Selain tuntutan status Bumiputera, Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) turut meminta peruntukan tanah 15 ekar di Putrajaya untuk membina pusat komuniti India Muslim, dan seorang pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menjaga hal ehwal kumpulan itu.

Anda semua Bumiputera, Najib beritahu India Muslim


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments