Sarawak isytihar 2 lagi kawasan wabak rabies
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengisytiharkan Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba, Kuching sebagai kawasan baharu yang positif wabak rabies.
Sekretariat JPBN Sarawak berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian di Hangar Hornbill Skyways Sdn Bhd pagi ini.
“Pengisytiharan warta ini dimaklumkan kerana terdapat kes positif virus ini pada anjing di kedua-dua kawasan berkenaan. Oleh itu, semua masyarakat terutamanya di kawasan terbabit dikehendaki menjaga anjing mereka di kawasan rumah masing-masing dan tidak membiarkan ianya berkeliaran,” kata kenyataan itu.
Sekretariat itu berkata berikutan tambahan 2 kawasan itu jumlah kawasan wabak telah bertambah kepada 20 kawasan.
Di Serian, kawasan terjejas ialah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Kuching-Sri Aman.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Di Tebedu pula selain Kampung Entubuh, kawasan lain yang terlibat ialah Kampung Temong Mura manakala di Sri Aman ialah Rumah Janta Punggu Mawang,” katanya.