Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Jangan dengar nasihat pendakwah anti-vaksin, kata mufti

 | July 26, 2017

Mufti Perak, Harussani Zakaria berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab agama mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka, walaupun ia dicemari 'najis' seperti didakwa beberapa pendakwah.

Harussani-Zakaria-vaccine-baby-muslimPETALING JAYA: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menggesa umat Islam mengabaikan pendakwah yang mendakwa suntikan vaksin dicemari “najis”.

Beliau memberitahu FMT ibu bapa mempunyai tanggungjawab agama mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka, walaupun ia dicemari “najis” seperti didakwa beberapa pendakwah.

“Orang ramai perlu mendengar keputusan pihak berkuasa agama. Kita sudah mengeluarkan arahan dan fatwa boleh mengambil vaksin. Walaupun ada najis, umat Islam boleh mengambilnya. Diharuskan.”

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mengabaikan maklumat diragui yang dikongsi di media sosial mengenai imunisasi.

Ibu bapa, katanya, perlu memastikan anak mereka mendapat suntikan diperlukan untuk mencegah dijangkiti penyakit seperti batuk kering, demam campak dan difteria.

April tahun lalu, Harussani dilaporkan berkata, ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin kepada anak mereka dianggap berdosa kerana melanggar perintah Tuhan.

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan berkata, kebanyakan ibu bapa yang menolak imunisasi untuk anak mereka, tahun lalu, datang dari Perak, Terengganu dan Pahang.

“Mereka tidak pasti sama ada vaksin itu halal atau haram,” kata Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di Kementerian Kesihatan, Rozita Rahma.

“Selain mempersoalkan terdapat DNA babi dalam vaksin, mereka juga takut ia mengandungi bahan kimia terlarang seperti merkuri.”

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati Perak mendahului senarai itu dengan 285 bantahan, diikuti Terengganu (233), Pahang (178), Kedah (172) dan Selangor (151).

Bantahan itu dibuat atas alasan agama atau bimbang risiko autisme.

Antara kebimbangan itu berpunca daripada maklumat disebarkan kumpulan berkaitan gerakan anti-vaksin di internet yang sering dirujuk sebagai anti-vaxxers.

Sepanjang 6 bulan pertama tahun ini, lebih 800 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin untuk anak mereka direkodkan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid menggesa Kementerian Kesihatan mendidik orang ramai mengenai kandungan vaksin untuk membendung ketakutan tidak munasabah.

“Kementerian perlu menerangkan kandungan vaksin itu kepada orang ramai dan akibat enggan memberi imunisasi kepada anak mereka,” katanya yang berpendirian umat Islam boleh menerima atau menolak pemvaksinan.

Ibu bapa enggan vaksin bimbang haram dan penyebab autisme

Golongan berpendidikan di Perak antara yang tolak vaksin


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments