Tuntutan GST palsu? DAP kata dakwaan kastam hina PBT
Adun Eddie Ng Tien Chee berkata kastam perlu hubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bukti tambahan jika ada keraguan.
Adun Balakong Eddie Ng Tien Chee, sebelum ini mendedahkan kastam berhutang RM36 juta dengan 12 PBT di Selangor dalam bentuk bayaran balik cukai, terkejut dengan kenyataan Ketua Pengarah Kastam T Subromaniam.
“Kenyataan itu bukan sahaja tak betul tetapi juga menghina semua penjawat awam PBT. Subromaniam harus memberikan alasan yang kuat kerana bagi saya tidak masuk akal.
“Saya hairan dengan kenyataan beliau. Mengapa pula PBT buat tuntutan palsu dengan membayar 6% cukai barangan dan perkhidmatan dan kemudian mohon bayaran balik? PBT tiada kerja lain?”
Eddie diminta mengulas kenyataan Subromaniam yang berkata kastam tidak membayar tuntutan berkenaan selepas mendapati 12 PBT berkenaan mengemukakan penyatan meragukan.
Beliau menggesa kastam menghubungi PBT secara bertulis meminta bukti tambahan jika ada keraguan.
“Kastam sepatutnya bertindak secara profesional dalam menangani bayaran balik GST.
“Mereka perlu memaklumkan PBT secara bertulis dan minta dokumen sokongan jika ada sebarang keraguan dan bukannya menahan bayaran itu.
“Ini menunjukkan mereka tidak serius memulangkan cukai boleh bayar balik kepada pelanggan mereka.”
Ng mendedahkan angka, berdasarkan kajian peribadi, yang menunjukkan jabatan itu berhutang hampir RM36 juta kepada PBT kerana ia belum membayar balik cukai yang dibayar sejak Jun 2016.
Angka tersebut diberikan oleh setiap PBT di Selangor.
Ia menunjukkan kastam berhutang lebih RM5.9 juta dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), diikuti Klang (RM5.6 juta), Kajang (RM5.1 juta), Ampang Jaya (RM5 juta), Selayang (RM4.1 juta) dan Petaling Jaya (RM3.2 juta).
Kastam juga berhutang RM2.7 juta dengan Subang Jaya (RM2.7 juta), Sepang (RM2.1 juta), Hulu Selangor (RM700,000), Kuala Langat (RM600,000), Sabak Bernam (RM400,000) dan Kuala Selangor (RM200,000).
Subromaniam dalam kenyataannya mengakui wang itu tidak dibayar balik, tetapi kastam ada sebab sah untuk berbuat demikian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau berkata undang-undang membenarkan kastam menahan tuntutan jika terdapat keraguan atau pernyataan yang meragukan.