Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Boleh bersatu dengan Syiah tetapi mereka ‘tetap sesat di Malaysia’, kata Zamihan

 | August 3, 2017

Seruan timbalan PM supaya Syiah dan Sunni bersatu tidak menjejaskan fatwa pada 1996 yang mengharamkan aliran Syiah di negara ini.

Zamihan-syiahPETALING JAYA: Ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyeru umat Islam sama ada bermazahab Sunnah atau Syiah bersatu demi kepentingan agama dilihat janggal, disebabkan pihak berkuasa agama di Malaysia tidak mengktiraf Syiah sebagai salah satu mazhab di negara ini, malah dianggap sesat.

Sebuah kumpulan yang kerap mempertahankan dasar mengharamkan mazhab selain daripada 4 mazhab Sunnah, berkata seruan timbalan perdana menteri itu tidak mempunyai konflik dengan dasar kerajaan.

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) berkata ia menyambut baik Sunni dan Syiah bersatu, tetapi tidak bersetuju sekiranya Syiah dibenar untuk disebarkan di Malaysia.

Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin berkata mazhab Syiah yang diamalkan kira-kira 20% umat Islam sedunia itu tetap dianggap “sesat” di Malaysia selari dengan fatwa pihak berkuasa agama.

“Pengikut ajaran Syiah tetap tidak dibenarkan menyebarkan fahaman mereka sesuka hati di Malaysia. Ia tetap diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan rujukkan kita ialah fahaman Sunni,” kata Zamihan kepada FMT.

“Fatwa itu masih terguna pakai, apa juga kenyataan perdana menteri ke, timbalan perdana menteri ke, bidang kuasa agama Islam negeri tetap terpakai sebab fatwa telah diwartakan,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, berucap di hadapan peserta 38 negara yang menyertai Persidangan Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017, Zahid menggesa umat Islam kedua-dua aliran melupakan perbezaan mereka demi Islam.

Menurut Zahid, biarpun umat Islam berlainan mazhab, mereka berpegang kepada Al-Quran yang sama.

“Tujuan kita adalah demi keamanan sejagat, bukan sengketa sesama kita,” katanya.

Pengikut Sunni dan Syiah mempunyai sejarah perseteruan yang panjang dan mewarnai konflik dan perang saudara di beberapa bahagian dunia Islam.

Pihak berkuasa agama Malaysia memfatwakan Syiah sebagai ajaran sesat kerana menganggap ia menyeleweng daripada akidah. Penganut Syiah tempatan juga kerap berdepan tangkapan, walaupun pihak berkuasa biasanya tidak mengambil tindakan ke atas umat Islam daripada negara dominan Syiah seperti Iran dan Iraq.

Fatwa tersebut dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 1996, yang membatalkan kebenaran sebelumnya kepada Syiah aliran Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia, sebaliknya mengharamkan semua aliran Syiah .

Antara lain, ia mengharamkan penyebaran apa-apa ajaran selain daripada pegangan “Ahlul Sunnah Wal Jamaah”, di samping menyekat penerbitan bahan cetak dan multimedia.

Zamihan mempertahankan kenyataan Zahid sambil berkata maksud penyatuan antara 2 mazhab itu menjurus kepada isu perpaduan umat Islam, dalam usaha menyukarkan musuh memecah belahkan Islam.

“Penyatuan yang disebut Zahid melibatkan soalan penyatuan Islam, soal dasar, soal berkait undang-undang, kepentingan Islam dan juga keselamatan secara umum.

“Sebagai contoh, dalam isu Palestin, Sunni dan Syiah bersatu menentang Israel, untuk keselamatan kita bersatu, dari sudut politik, eskonomi kita bersatu. Cuma dari segi kepercayaan, Syiah kena hormati orang Sunni sebab Malaysia adalah negara Sunni.

“Sama juga kalau kita pergi ke Iran, Syria dan Lubnan yang bermazhab Syiah. Kita kena hormati undang-undang mereka,” kata Zamihan yang turut menyertai Persidangan Ulama Antarabangsa bersama Zahid Jumaat lalu.

 

Zahid seru Sunni dan Syiah bersatu demi Islam


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments