Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr Mahathir betul, Melayu hanya pilih Melayu

 | August 10, 2017

Tinjauan FMT mendapati ramai orang Melayu termasuk di Selangor akan hanya memilih calon bangsa mereka sendiri.

mahathir-mohamad-pengundi-melayuPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad bulan lepas berkata partinya, PPBM, perlu kekal sebagai parti tunggal kerana orang Melayu masih lagi bersikap “komunal” dalam memilih calon pilihan raya.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang turut menggambarkan pra-pilihanraya kali ini agak suram kerana ada usaha sesetengah pihak cuba menjadikannya sebagai medan pertempuran antara Melayu dengan China.

Ini tidak menghairankan apabila sesetengah ahli politik Umno berulang kali memberi amaran jika parti mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang Melayu akhirnya akan mengalami kekalahan yang teruk.

FMT membuat tinjauan di kawasan majoriti Melayu di Selangor dan mendapati ramai bakal pengundi berkongsi pandangan ini dengan berkata apa pun terjadi, mereka tetap akan mengundi calon Melayu.

“Ini orang kita, kita perlu mengundi kaum kita walaupun mereka bekerja dengan kaum lain seperti Barisan Nasional (BN). Kita tahu ia untuk kebaikan orang Melayu,” kata pengundi Sungai Besar, Noraini Mahmud.

“Sudah tentu Melayu, saya akan menyokong calon Melayu,” kata Abu Hasan ketika ditanya siapa yang beliau akan undi apabila berdepan dengan 2 calon, seorang Melayu dan seorang lain bukan Melayu.

Faktor bangsa atau rekod baik?

Parti politik menyedari pemikiran “komunal” ini, sebab itulah bangsa menjadi faktor utama dalam keputusan memilih calon untuk pilihan raya.

Sebagai contoh, pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar (Perak) dan Sungai Besar (Selangor), majoriti pengundi di kedua-dua kawasan itu adalah Melayu. Oleh itu, calon BN dan Pakatan Harapan (PH) kedua-duanya juga Melayu.

Dengan pemikiran “komunal” seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir, apakah yang akan dilakukan orang Melayu jika mereka berdepan dengan 2 calon: seorang Melayu yang terlibat dalam pelbagai skandal dan seorang bukan Melayu yang latar belakangnya bersih?

Ramlah Zainal dari Felda Bukit Cerakah, Shah Alam, berkata beliau akan mengundi calon yang dia percaya akan berjuang untuk kelangsungan hidupnya.

Beliau satu-satunya antara 22 orang lain yang ditemui FMT memberikan jawapan sedemikian.

Selebihnya, Mohamad Abdul Rahim dari Bukit Rotan, pengundi Melayu harus mengundi calon beragama Islam. Jika calon Melayu tidak ada, barulah mereka akan menimbang untuk menyokong calon bukan Melayu, selagi mereka boleh “membawa kemajuan kepada negara”, tambahnya.

Faktor agama

Carian Google mengenai topik tanggungjawab Islam yang mempengaruhi undian orang ramai mendapati penceramah agama popular seperti Azhar Idrus dan Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin banyak dijadikan rujukan.

Azhar, pada 2012 berkata umat Islam dibenarkan mengundi kaum lain jika calon itu boleh memberi manfaat kepada Islam dan umat Islam itu sendiri. Jika tidak, ia adalah “wajib” atau mesti bagi mereka untuk mengundi calon Islam.

Asri pula yang kerap dilihat sebagai sebagai pendakwah lebih sederhana berkata perkara yang sama.

“Terpulang dalam suasana macam mana. Kalau dia hanya untuk Islam saja, kita memang pilih orang Islam, takkan nak pilih orang lain pula? Tetapi kalau di bawah kepimpinan negara ada Islam dan bukan Islam, kita tengok mana yang boleh beri manfaat yang lebih kepada orang Islam.

“Maksudnya pemimpin yang boleh beri keadilan, kita utamakan mereka, walaupun dia tak beragama Islam. Lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat majmuk,” kata Asri dalam salah satu ceramah yang dimuat naik di YouTube.

Bukan Islam jadi pilihan apabila…

Pengundi di Sekinchan, Selangor, Ismail Sutan, berkata Malaysia adalah negara Islam dan orang Melayu sebagai kumpulan majoriti.

“Kita perlu menyokong orang Melayu,” katanya.

“Jika tidak ada calon Melayu, maka kita perlu mengundi calon yang boleh membantu orang Melayu seperti MCA. Kerana MCA berada dalam BN yang didominasi oleh orang Melayu.”

Pendirian sama dipersetujui oleh penduduk Nordin Ariffin dan Kamarul Arifin.

“Kami semestinya mahu pemimpin Islam kerana Nabi Muhammad dan para sahabatnya pernah berkata pada akhir zaman nanti dunia akan dipimpin oleh pemimpin Islam lebih progresif.

“Tetapi kami juga memilih calon yang berkhidmat dalam PH yang dipimpin oleh orang Islam,” kata Kamarul.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bagaimanapun tidak bersetuju.

Beliau berkata dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, pengundi harus memastikan pemimpin yang mereka pilih adalah orang yang dapat memastikan keadilan bagi rakyat.

Ini adalah salah satu prinsip utama Islam, tambahnya.

“Kita perlu melihat watak dan tindakan calon itu. Mungkin mereka bukan Islam, tetapi jika mereka lebih jujur dan bertanggungjawab menjalankan tugas, maka kita harus memilih mereka.

“Kalau calon Islam mempunyai ciri-ciri ini, maka itu lebih baik, tetapi jika mereka nama sahaja Islam tetapi tidak jujur dan mengamalkan rasuah, kita tidak boleh pilih kerana mereka tidak mengamalkan ajaran Islam,” katanya kepada FMT.

‘Mereka perlu Dr Mahathir’

Walaupun sentimen “komunal” Melayu membantu Umno memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu, ini mungkin berubah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia kerana PH kini mempunyai Dr Mahathir yang pernah diberikan lencana kehormat “ultra Melayu”.

Orang Melayu yang bimbang Malaysia tidak lagi menjadi negara Islam jika BN ditolak merasa lega mengetahui pemimpin berusia 92 tahun dan PPBM akan sentiasa menjadi parti yang dominan.

“PPBM dianggap macam Umno juga. Jadi mereka merasa selesa.

“Mereka perlukan Dr Mahathir. Beliau sahaja yang boleh menambat hati sebahagian besar orang Melayu ini,” kata penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain.

“Sedangkan musuh boleh terima Dr Mahathir, apakan pula orang Melayu yang bukan musuh dia,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments