Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kastam: 10,000 hotel wajib daftar, tidak tangguh cukai pelancongan

 | August 12, 2017

Ketua pengarah Jabatan Kastam berkata, masih ada kira-kira 10,000 hotel dan premis penginapan yang mempunyai 5 bilik ke atas yang dipercayai sengaja melengah-lengahkan pendaftaran.

Subromaniam-hotel-kastamPUTRAJAYA: Hotel dan premis penginapan yang mempunyai 5 bilik ke atas wajib berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum 31 Ogos ini bagi pelaksanaan cukai pelancongan bermula 1 September, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata, setakat ini 4,000 hotel dan premis penginapan berdaftar dengan jabatan itu dan masih ada kira-kira 10,000 belum berbuat demikian, dipercayai sengaja melengah-lengahkan pendaftaran.

Bercakap kepada pemberita di prapelancaran Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia hari ini, Subromaniam berkata, pihaknya tidak akan memberi tempoh tangguh, justeru pengusaha hotel dan penginapan perlu mendaftar segera dalam talian di portal JKDM.

“Pihak kastam akan membantu mereka berdaftar dengan melawat premis itu melalui program ‘Hand Holding’ mulai minggu depan. Kalau ada masalah, telefon kastam dan kita boleh turun ke premis anda untuk bantu mendaftar. Jangan cari alasan dan melengahkan pendaftaran,” tegasnya.

Pada 26 Julai lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, rakyat Malaysia akan dikecualikan membayar cukai itu bagi semua kategori hotel, manakala cukai terhadap pelancong asing akan dikenakan pada kadar RM10 semalam bagi sebuah bilik, mulai 1 September ini.

Mengenai pendaftaran motel dan inap desa, Subromaniam berkata, pada dasarnya pihak inap desa bersetuju berdaftar, tetapi mempunyai beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan kastam akan mengadakan perbincangan dengan wakil inap desa pada 28 Ogos ini.

“Bagi motel pula, mereka tidak dapat memberi data penuh. Tetapi mengikut undang-undang, sesiapa yang ada 5 bilik dan ke atas tanpa mengira penarafan bintang perlu berdaftar,” katanya.

Subromaniam bagaimanapun berkata, buat masa ini, pihaknya tidak akan bersikap agresif terhadap pengusaha yang gagal berdaftar selepas tarikh akhir, sebaliknya mahu mereka bekerjasama dengan JKDM.

Mengulas penahanan 6 pegawai kastam baru-baru ini yang dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah ke negara ini, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman selain menunggu siasatan polis selesai.

Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia bukan negara transit untuk kegiatan penyeludupan, sekalipun JKDM mencatatkan banyak kes rampasan, khususnya kebelakangan ini.

Sebaliknya, kata beliau, kejayaan itu hasil kerjasama erat JKDM dengan agensi perisikan dalaman dan luar negara, selain maklumat awam dan perisikan dalaman.

“Saya ingin tegaskan oleh kerana kita melakukan rampasan banyak di Malaysia, tidak semestinya Malaysia adalah negara transit. Ada negara dekat dengan kita tahu perkara ini, tetapi dia tidak melaporkan atau mengambil tindakan. Jadi, kita tahu perkara itu dan ambil tindakan,” katanya.

Mengenai Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia, Subromaniam berkata, program tahunan itu dianjurkan Persatuan Pegawai Kanan Kastam dan akan diadakan pada 20 Januari tahun depan bagi mengutip sumbangan disasarkan kira-kira RM100,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Acara kayuhan sejauh 8km itu akan berlangsung serentak di 14 lokasi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments