Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Putrajaya digesa jangan benar China bina pusat risikan wilayah

 | August 12, 2017

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak harus terburu-buru menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu.

Salahuddin_putrajaya_china_600

PETALING JAYA: Di sebalik laporan Putrajaya bakal menawarkan kepada China membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak harus terburu-buru menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu.

“Sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China, jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China.

“Lihat sahaja pengalaman negara-negara Afrika yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu adalah sangat dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

Beliau berkata, tawaran itu adalah momentum negara tembok besar tersebut dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan.

“Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di 7 pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan.

“Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata antipesawat, antipeluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh,” kata beliau.

Kata Salahuddin, pertemuan November ini bersama Presiden China berhubung tawaran Beijing perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar Malaysia tidak terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

“Negara-negara ASEAN perlu terus kekal neutral. Sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara ASEAN yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments