Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hishammuddin: ‘Pengipas’ hanya mahu cari makan, lemahkan Umno

 | August 13, 2017

Naib Presiden Umno itu berkata, sebarang usaha untuk merosakkan hubungan dalam kalangan 3 pemimpin utama parti itu - Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan beliau sendiri tidak akan berjaya.

hishamuddin-umno-1

LABUAN: Kemunculan “Apple Polisher” atau “Pengipas” dalam Umno adalah perkara biasa, tetapi elemen ini tidak sekali-kali dibiarkan terus wujud dalam parti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sindrom “mengipas” ini berlaku semata-mata untuk kepentingan peribadi orang berkenaan.

“Pengipas ini mengipas (pemimpin parti), namun pemimpin parti tidak akan memberi laluan kepada mereka untuk mencapai matlamat peribadi atau merosakkan kekuatan parti,” katanya selepas mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Labuan hari ini.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, pemimpin utama parti – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau sendiri menempuh banyak cabaran hingga pucuk pimpinan parti sedar wujudnya agenda tersembunyi orang tertentu.

“Orang-orang ini (pengipas) sebenarnya tidak menyokong Umno, tetapi hanya hendak ‘cari makan’ atau melemahkan parti.”

Hishammuddin sekali lagi menegaskan sebarang usaha untuk merosakkan hubungan dalam kalangan 3 pemimpin utama Umno itu tidak akan berjaya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Sabah dan Labuan akan terus menjadi kubu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, perjuangan Umno yang tidak berdasarkan kepentingan peribadi itu bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi semua kaum.

“Melalui perpaduan di kalangan rakyat dan ahli parti, kita yakin BN akan menang dengan majoriti lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan ahli Umno Bahagian Labuan boleh menjadi contoh kepada negeri lain di seluruh negara.

Hishammuddin berkata, ahli Umno bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan “usaha kuat” mereka akan menjamin kemenangan BN pada PRU14.

Sementara itu, beliau menegaskan Umno meletakkan negara di tahap lebih tinggi hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Kepimpinan Datuk Seri Najib yang diiktiraf antarabangsa membolehkan beliau menerima jemputan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada September,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments