Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penganjur: Dr M tak cedera, gesa rakyat teruskan perjuangan

 | August 13, 2017

Pengarah forum Nothing to Hide 2.0 berkata, kekecohan itu langsung tidak menyebabkan Dr Mahathir kecil hati, sebaliknya beliau memuji cara penganjur mengawal keadaan.

ashraf

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengalami sebarang kecederaan susulan insiden membaling suar, kerusi dan kasut ke arah pentas pada forum Nothing to Hide 2.0, kata pengarah program itu.

Ashraf Mustaqim berkata, insiden itu langsung tidak menyebabkan bekas perdana menteri itu kecil hati, sebaliknya Dr Mahathir memuji cara penganjur mengawal kekecohan yang tercetus.

“Saya orang terakhir dengan Tun Mahathir semasa beliau menaiki kereta, saya cium tangan Tun. Syukur Tun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita tidak jangka benda ini berlaku, kami minta maaf dengan Tun, tapi Tun kata tak apa ini perjuangan demi negara, agama, bangsa kita untuk selamatkan negara,” katanya pada sidang media selepas pengerusi PPBM itu meninggalkan Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor petang tadi.

Kekecohan tercetus sekitar 5.30 petang tadi, kira-kira 2 jam selepas forum Nothing to Hide 2.0 dimulakan di Shah Alam, ketika pengerusi Pakatan Harapan itu menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling suar, botol air dan kasut ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri ketika itu.

Dewan Raja Muda Musa kemudiannya dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke atas pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu.

Suasana itu mencetuskan panik di kalangan pemimpin dan peserta yang mengikuti forum itu, menyebabkan mereka cuba menyelamatkan diri dan berlaku pergelutan di kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir hari ini ialah Khalid Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida Kamaruddin, Ng Suee Lim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Datuk Zaid Ibrahim serta pemimpin Pakatan Harapan lain.

Julai lalu, Dr Mahathir mempelawa Najib ke forum yang diadakan di Shah Alam hari ini untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap mereka berdua.

Susulan itu, sekumpulan ahli Pemuda PPBM hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Julai lalu, untuk menghantar jemputan rasmi kepada Najib bagi menghadiri forum hari ini.

Bagaimanapun, niat mereka dihalang kira-kira 200 Pemuda Umno sehingga berlaku tolak-menolak antara mereka. Ashraf yang juga ahli Exco Pemuda PPBM mendakwa beliau ditumbuk kumpulan ahli Pemuda Umno itu.

Forum Nothing To Hide julung kali dianjurkan pada 5 Jun 2015 di ibu pejabat Umno. Najib dijadualkan menghadiri forum itu dan menjawab pertanyaan umum, namun ia kemudiannya dibatalkan selepas Dr Mahathir hadir untuk berucap tanpa diundang.

Nothing to Hide 2.0: Bom asap dibaling, forum Dr M ‘diserang’


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments