Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penganjur Nothing to Hide maklumkan polis 2 kali, kata peguam

 | August 16, 2017

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penganjur hanya perlu memaklumkan polis mengenai forum itu dan beliau berharap polis menyelesaikan siasatan dengan cepat dan menghukum dalang kekecohan itu.

hanif

PETALING JAYA: Penganjur forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu memaklumkan polis mengenai program itu sebanyak 2 kali, tetapi tiada respons diberikan pihak berkuasa itu, kata peguam Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, notis pertama dikeluarkan 25 Julai lalu, sebelum penganjur memilih mahu menganjurkan forum itu di sebuah dewan atau Universiti Selangor di Shah Alam.

“Tiada respons positif atau proaktif daripada polis walaupun selepas notis ke-2 dihantar untuk menganjur program itu di dewan berkenaan di mana forum terbabit terpaksa dihentikan lebih awal,” katanya.

Haniff berkata, penganjur hanya perlu memaklumkan polis mengenai acara anjuran mereka untuk melaksanakan hak kebebasan bersuara mereka.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini yang satu-satunya tanggungjawab untuk keselamatan dalam sebarang forum terletak di tangan penganjur.

Ketua polis negara itu berkata, penganjur sepatutnya tahu tanggungjawab mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, berikutan kenyataan sesetengah pihak yang polis tidak patut menyalahkan penganjur, sebaliknya pelaku yang mencetuskan keganasan dan kekecohan di forum itu.

“PAA jelas menyatakan tanggungjawab memastikan keselamatan hadirin dan lokasi terletak di tangan penganjur.

“Jadi, tidak adil untuk penganjur dan penyokong mereka menyalahkan polis,” kata Khalid sambil menambah penganjur patut berunding dengan polis mengenai langkah pencegahan kejadian tidak diingini ketika acara berlangsung, tetapi “disebabkan mereka tidak melakukannya, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya”.

Khalid berkata, “Kami tidak dijemput untuk mengawasi kawasan di dalam lokasi itu, jadi kami hanya menyediakan keselamatan di luar lokasi itu.”

Beliau turut menyalahkan penganjur kerana tidak membuat kawalan ketat terhadap apa yang boleh dan tidak boleh dibawa masuk ke dewan itu.

Haniff berkata, polis sepatutnya tahu sama ada pengisian forum itu sensitif dan berapa ramai anggota polis perlu dikerahkan untuk memastikan keselamatan hadirin dan memastikan program berjalan lancar.

“Bagaimanapun, tidak produktif menuding jari kepada sesiapa pun ketika ini,” katanya sambil menambah untuk berlaku adil kepada pihak berkuasa, ada anggota polis ditempatkan di dalam dewan untuk mengurangkan kekecohan.

“Walaupun kekurangan tahap keselamatan, ia tidak memberi hak kepada sesiapa pun untuk mencetuskan kekacauan dalam acara itu.”

Katanya, polis perlu meyakinkan orang ramai yang mereka juga sedang menyiasat dalang kekecohan itu.

Haniff berharap polis segera menyelesaikan siasatan mereka, termasuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab mengganggu forum itu.

Petang Ahad lalu, forum yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam itu bertukar kecoh dengan balingan suar, kerusi, kasut dan botol air daripada beberapa individu.

Ia berlaku ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan mengenai kejadian Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Setakat ini, seramai 13 lelaki ditahan membantu siasatan kekecohan yang tercetus pada forum anjuran Pemuda PPBM.

Nothing to Hide 2.0: Bom asap dibaling, forum Dr M ‘diserang’


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments