Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Di Kampung Memali, dendam 3 dekad terhadap Dr M, polis

 | August 17, 2017

Ramai yang terlibat dalam peristiwa berdarah November 1985 itu kini sudah lanjut usia. Kemarahan mereka tidak reda selagi Dr Mahathir dan kerajaan tidak memohon maaf secara terbuka.

VIDEO INSIDE
mamali-sign

Papan tanda menunjukkan rumah Ibrahim Libya yang menjadi sasaran operasi polis pada pagi 19 Nov 1985.

BALING: Tiga puluh dua tahun sudah berlalu, tetapi peristiwa hitam yang dilalui penduduk Kampung Memali di Kedah masih menghantui mereka sehingga kini.

Ada yang masih merasai kesakitan ditanggung mereka, tidak kurang pula yang berdendam dan “menyirap darah” setiap kali terserempak dengan anggota polis atau terdengar nama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berpantang maut sebelum ajal. Kehidupan Abdullah Che Soh bermula pada usia 40 tahun selepas beliau terselamat daripada 7 das tembakan, ketika Kampung Memali yang terletak kira-kira 100km dari ibu negeri Alor Setar, dikepung anggota polis yang menyaksikan 18 orang terkorban.

Daerah Baling terkenal dengan pertemuan bersejarah antara kerajaan penjajah British dan pemberontak komunis di Tanah Melayu yang dicatatkan dalam buku teks sejarah, manakala Kampung Memali pula menempa nama dalam politik kontemporari Malaysia.

madrasah

Sekumpulan pelajar bermain di luar Madrasah Islahiah Diniah yang ditubuhkan Ibrahim Libya beberapa bulan sebelum peristiwa berdarah Memali.

Hujung minggu lalu, Memali mencuri tumpuan negara sekali lagi apabila seorang hadirin mengajukan soalan mengenai tragedi itu kepada Dr Mahathir dalam forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, beberapa minit sebelum kekecohan berlaku dengan kerusi, kasut, suar dan botol air dilontar ke pentas program anjuran Pemuda PPBM itu.

Pengkritik negarawan berusia 92 tahun itu melontarkan soalan yang memberi peluang untuk menghidupkan kembali “dosa lampau” dan mengaitkannya dengan bekas perdana menteri itu, yang kini berkongsi pentas dengan pemimpin pembangkang sama yang pernah menjadi musuhnya.

Dr Mahathir menerajui negara ketika tragedi berdarah itu mengorbankan 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis, selain mencederakan ramai orang awam, termasuk Abdullah yang terkena 7 das tembakan.

Kesakitan ditanggung Abdullah cukup untuk beliau membenci Dr Mahathir sehingga hari ini.

abdullah

Abdullah Che Soh.

“Tujuh peluru menembusi badan saya. Macam mana saya hendak maafkan dia? Jika dia datang ke sini, saya akan lastik dia,” katanya kepada FMT.

Tiga daripada tembakan itu terkena dada Abdullah, manakala masing-masing sebutir peluru menembusi pinggulnya, pergelangan tangan, siku dan dekat ibu jari kanannya.

Abdullah hanya akan memaafkan pengerusi Pakatan Harapan itu dengan 1 syarat.

“Saya rasa kami boleh (memaafkannya), dengan syarat dia memohon maaf secara terbuka.”

Ibrahim Libya

Pada 19 November 1985, Kampung Memali bertukar menjadi kawasan keselamatan utama apabila ia dikepung kira-kira 200 anggota polis bersenjata.

Ia bukan julung kali orang penting di Kuala Lumpur menghantar pasukan polis ke kampung sunyi itu, yang akhirnya pulang dengan tangan kosong.

ibrahim-libya

Ibrahim Mahmud ialah guru agama yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Bagaimanapun, kali ini mereka diarahkan membawa Ibrahim Mahmud, guru agama yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, ke Kuala Lumpur dan menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penduduk kampung sedar senjata buatan sendiri seperti parang dan pisau tidak mampu melawan pasukan keselamatan yang dilengkapi mesingan. Pun begitu, ia tidak menghalang mereka daripada berjuang habis-habisan bagi mempertahankan Ustaz Ibrahim dengan membentuk perisai manusia di rumahnya.

Pertempuran itu berakhir pada senja dengan kemenangan memihak kepada pasukan keselamatan. Seluruh kampung, termasuk wanita dan kanak-kanak diangkut dengan berpuluh-puluh lori.

Abdullah antara mereka yang “istimewa” dalam kalangan ratusan orang yang ditahan. Beliau dan 35 yang lain ditahan di bawah ISA, undang-undang yang kerap digunakan pihak berkuasa pada 1980-an ke atas pembangkang kerajaan.

Pantang larang Kampung Memali

Hari ini, Memali sebuah kampung dengan kira-kira 2,000 penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.

Tiga dekad selepas peristiwa berdarah itu, Dr Mahathir dan polis kini hampir menjadi pantang larang di kampung berkenaan.

Seperti Abdullah, golongan berusia 30-an yang terlalu muda untuk mengingati peristiwa itu juga yakin Dr Mahathir bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah di kampung mereka.

Bagaimanapun, sesetengah penduduk kampung termasuk mereka yang pernah ditahan sedia memberi peluang kedua, dengan syarat beliau melawat kampung itu untuk memohon maaf secara terbuka.

Beberapa bulan selepas peristiwa itu, Dr Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat, mendakwa penduduk kampung itu ialah “fanatik” yang menyerang pasukan keselamatan dengan bom botol dan anak panah beracun.

Abdullah mempertikaikan tuduhan itu dengan menunjukkan beberapa jarinya yang kebas akibat terkena tembakan.

“Saya tidak pegang sebarang senjata. Saya mengangkat penumbuk saya dan mereka tembak saya. Saya hanya mahu melindungi Tok Guru saya,” katanya merujuk Ibrahim.

Isteri Abdullah, Kalsom Salleh masih tidak dapat melupakan keadaan suaminya yang cedera digari di tangan dan kaki.

Dalam keadaan digari itu, Abdullah terpaksa membuang air kecil dan besar dalam sel penjara.

mamali-inside

Kampung Memali hari ini diduduki kira-kira 2,000 orang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.

“Ia adalah penyeksaan. Saya menangis melihat dia terbaring dalam kencing dan najis sendiri. Saya menjerit anggota polis di lokap Alor Setar untuk mengeluarkannya,” kata wanita berusia 65 tahun itu yang turut ditahan bersama kira-kira 400 penduduk kampung lain.

Kalsom teringat bagaimana polis memaksanya mengaku mereka sebahagian daripada kumpulan ajaran sesat ketika disoal siasat.

Namun, beliau tidak menyesali sokongannya kepada PAS.

“Kami beritahu mereka kami sudah sebati dengan PAS. Kami ialah umat Islam biasa yang bersolat 5 kali sehari.”

Label ‘sesat’

Abdullah menolak label sesat yang diberikan kepada Ibrahim.

Beliau berkata, Umno ketika itu bimbang pengaruh PAS yang semakin berkembang di kalangan orang Melayu lalu mencipta dakwaan untuk menunjukkan Ibrahim ialah ancaman keselamatan negara.

zaman-mahmud

Zaman Mahmud.

Seorang lagi penduduk yang ditahan, Zaman Mahmud masih tidak boleh melupakan “jenayah” ke atas orang kampungnya.

“Tetapi, jika Dr Mahathir minta maaf, kami mungkin memaafkan anda, insya Allah. Jika Allah boleh mengampuni hambaNya, kenapa kami tidak boleh melakukan perkara sama,” kata penoreh getah berusia 65 tahun itu yang pernah mengetuai cawangan PAS di Kampung Charok Puteh dalam Memali.

Baginya, PPBM yang diasaskan Dr Mahathir tidak mungkin menembusi kampung itu disebabkan kenangan pahit 1985.

“Daerah mengundi ini 100% sokong PAS,” katanya walaupun mengakui kerusi Dewan Undangan Negeri Bayu dalam kawasan Parlimen Baling dimenangi Umno.

“Orang di sini penyokong tegar PAS.”

marzuki

Marzuki Ahmad.

Marzuki Ahmad, bekas mudir di Madrasah Islahiah Diniah yang ditubuhkan Ibrahim, mempersoalkan tindakan Dr Mahathir membangkitkan kematian anggota polis di Memali.

Lelaki berusia 68 tahun itu berkata, anggota polis itu mati akibat tembakan, tetapi penduduk kampung tiada senjata api.

“Ibu bapa kanak-kanak yang tidak bersalah dibunuh. Tolong jangan lupa fakta ini.”

marizah

Marizah Mat Arof.

Marizah Mat Arof juga tidak akan memaafkan Dr Mahathir. Pada usia 15 tahun, dia melihat sendiri bapanya, Mat Arof Hashim, 42, rebah dalam pertempuran itu.

“Masih tenangkah jiwanya sedangkan dia tahu dia berhutang darah dan nyawa? Semua 5 beradik saya, termasuk saya hidup tanpa ayah kami.”

Beliau ditahan hampir 40 hari di sebuah pusat tahanan di Tanjung Pari, tidak jauh dari Memali.

siti-aisyah

Siti Aishah Ahmed.

Begitu juga Siti Aishah Ahmed, 65, yang menyaksikan suaminya ditembak mati.

“Mereka tembak dia dan dia rebah berlutut, dalam keadaan sujud sambil memegang dadanya.

“Anggota polis kemudian menyusun mayat suami saya bersama 6 mangsa korban lain di tepi jalan, seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.

‘Pembohongan terhadap Ibrahim’

Aishah masih berdendam dengan anggota polis.

“Mereka tidak boleh lalu sini. Kami tidak mahu melihat mereka di sini langsung. Kami didih apabila mereka lalu.”

Seperti penduduk kampung lain, Aishah berkata, beliau turut dipaksa “mengakui” mereka sebahagian daripada sebuah ajaran sesat.

“Mereka asyik memaksa kami mengaku sebahagian daripada kumpulan ajaran sesat dan mendakwa kami menganggap Ibrahim sebagai nabi.

“Kami enggan menurutinya kerana ia adalah satu penipuan. Ibrahim orang yang baik dan alim, beliau juga bekas pemimpin PAS,” katanya.

Kerajaan menerusi penyelesaian di mahkamah membayar RM20,000 kepada balu lelaki yang terbunuh dalam peristiwa Memali.

Bagaimanapun, ia tidak membawa sebarang makna buat Aishah.

“RM3,000 dibayar untuk kos guaman. Kami terpaksa menyewa sebuah asrama di Alor Setar kerana tidak mahu ulang-alik untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanakah jumlah yang sedikit itu boleh membantu kami membesarkan anak-anak?” soalnya.

Aishah menyimpan hasrat supaya peristiwa sebenar Memali dicatatkan dalam buku sejarah.

Sementara itu, memori Memali yang masih menghantui sesetengah orang mungkin hanya boleh dilupakan dengan permohonan maaf, seperti didambakan Abdullah serta waris mangsa korban.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments