Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr Mahathir bertemu Hindraf dalam usaha menarik sokongan India

 | August 17, 2017

Bekas perdana menteri itu mengakui pengaruh Hindraf dan berkata undi masyarakat India bakal menjadi penentu pada PRU akan datang.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan P. Waythamoorthy di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Datuk Zaid Ibrahim dan Tan Sri Sanusi Junid.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan P. Waythamoorthy di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Datuk Zaid Ibrahim dan Tan Sri Sanusi Junid.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan luar biasa dengan kumpulan hak asasi Hindraf, dilihat sebagai langkah Pakatan Harapan (PH) mengadakan kerjasama dengan kumpulan berpengaruh itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pertemuan antara pengerusi PH itu dengan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, di mana kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan Hindraf diterima sebagai rakan komponen ke-5 gabungan pembangkang itu.

PH disertai PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Bercakap kepada FMT di dalam pejabat Dr Mahathir sambil diperhatikan Waythamoorthy, bekas perdana menteri itu menyifatkan Hindraf salah satu bahagian kuat jentera pembangkang.

“Kita ambil maklum masyarakat India tidak diwakili dengan sebaiknya dalam PH. Tiada parti berteraskan India. Terdapat parti pelbagai bangsa dengan keahlian kaum India, tetapi perwakilan mereka tidak memadai.

“Kita mengakui hakikat bahawa Hindraf mempunyai sokongan setiap lapisan masyarakat India, bukan sahaja doktor dan peguam, malah juga penduduk di estet.

“Jadi kami mahu berusaha dapatkan Hindraf, kalau pun bukan sebagai komponen PH, sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian pembangkang,” kata Dr Mahathir.

Hindraf, atau nama penuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu, merupakan pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan kekalahan besar Barisan Nasional (BN) dan peralihan sokongan India kepada pembangkang.

Pada PRU 2013, Waythamoorthy dilantik senator oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, selepas persefahaman dengan BN untuk menjaga kepentingan kaum India.

Waythamoorthy bagaimanapun meletak jawatan daripada Kabinet, selepas mendakwa BN gagal menunaikan janji dalam persefahaman yang dimeterai semasa kempen PRU.

Pertemuan Dr Mahathir dengan Waythamoorthy dilihat sebagai pengiktirafan negarawan itu terhadap pengaruh Hindraf, menjelang PRU ke-14 yang bakal menyaksikan BN berdepan cabaran paling sengit.

Pengundi India juga dilihat boleh menjadi penentu kemenangan dengan sokongan pengundi Melayu yang berpecah.

Dr Mahathir berkata sokongan pengundi India kepada pembangkang adalah kritikal.

“Kerana sekiranya pengundi masyarakat majoriti berpecah, minoriti akan menentukan pemenangnya.

“Hindraf sudah tentu sebuah pergerakan rakyat disertai orang kebanyakan. Mereka bukan duduk di bandar tetapi di pedalaman dan estet.

“Mereka mempunyai peranan besar menentukan siapa memenangi undi luar bandar,” tambahnya.

Ditanya mengenai perbezaan di antara anggota PH dan Hindraf, Dr Mahathir berkata beliau perlu mengadakan rundingan dengan pemimpin pembangkang lain.

Turut hadir dalam pertemuan hari ini ialah bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Sebelum ini, Zaid pernah mencadangkan kerjasama di antara PH dan Hindraf.

Zaid memuji Waythamoorthy kerana sanggup melepaskan jawatan Kabinet selepas kecewa dengan kegagalan kerajaan membantu kaum India.

“Beliau petah dan bersemangat dalam perjuangannya untuk menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat yang dipinggirkan di negara kita,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments