‘Graduan perlu kembang kemahiran bersama pasaran’
Syarikat pencarian pekerjaan berkata sifat pekerjaan yang sentiasa berubah-ubah mendesak pekerja hari ini mendapatkan kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan industri.
PETALING JAYA: Sebuah syarikat pencarian pekerjaan Australia menggesa belia hari ini untuk sentiasa mendapatkan kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.
Seek Asia memberitahu FMT generasi muda perlu belajar kemahiran baharu walaupun selepas tamat pengajiran tinggi supaya mempunyai kelebihan di pasaran pekerjaan.
“Kitaran set kemahiran bergerak sangat pantas.
“Set kemahiran seperti pemasaran digital dan pengurusan produk tidak wujud 10 tahun dulu, tetapi kini kemahiran itu antara yang sangat dicari dalam pasaran sekarang,” kata Ketua Pegawai Komersial Martin Hayden di tepian acara Jobstreet HR Networking 2017 hari ini.
Turut hadir di acara itu ialah Pengurus Negara Jobstreet Chook Yuh Yng, yang menekankan kepentingan tahap pendidikan tinggi untuk penghasilan pekerjaan.
Menurut Chook, masyarakat yang memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi akan menarik lebih ramai pelabur mendirikan perniagaan di negara mereka, oleh itu menghasilkan lebih banyak pekerjaan.
Beliau menambah memperoleh set kemahiran baharu akan memanfaatkan pekerja dan membantu kerjaya mereka.
“Graduan tidak patut berhenti belajar selepas tamat ijazah pertama.
“Jangan berhenti kerana pasaran pekerjaan tidak menunggu kamu. Kamu perlu kembangkan kemahiran bersama pasaran,” katanya.
Baru-baru ini dilaporkan Malaysia mencatatkan bilangan peluang pekerjaan yang dicipta yang tidak memberangsangkan dalam tempoh 4 tahun lalu.
Sejak 2013, kira-kira 672,000 pekerjaan yang ditawarkan dalam lingkungan pendapatan rendah dan sederhana.
Hari ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas.
Laporan tahunan Bank Negara Malaysia pada Mac melaporkan kadar pengangguran dalam kalangan belia mencecah 10.7% pada 2015, iaitu 3 kali lebih daripada kadar pengangguran negara iaitu 3.1%.
Chook berkata corak pengangguran ini, terutamanya bagi mereka yang berada dalam lingkungan 20-29 tahun, adalah tipikal walaupun pada skala global.
“Seperti kitaran ekonomi, ia akan beransur lebih baik, lebih lagi apabila tahap pendidikan di sesebuah negara ditambahbaik,” katanya.
Menurut data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Sepanyol mencatatkan kadar pengangguran belia terburuk di Eropah pada 2011, iaitu 46.4%.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di Asia Tenggara dan Pasifik, kadar pengangguran belia dijangka meningkat dari 12.4% pada 2015 kepada 13.6% pada 2017.