Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Sabah banjir akibat pembangunan, kata timbalan ketua menteri

 | August 17, 2017

Sikap orang awam membuang sampah secara haram dan semberono juga menyumbang kepada banjir kilat, kata Yahya Hussin.

Datuk-Yahya-Hussin

KOTA KINABALU: Pembangunan pesat sejak lebih 20 tahun di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan antara faktor berlaku banjir kilat ketika hujan lebat, selain struktur kawasan tanah yang rendah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Beliau juga menjelaskan sebahagian daripada tanah tersebut asalnya kawasan paya yang dibangunkan dengan sistem perparitan sedia ada direka bentuk dan dibina lebih 20 tahun lalu berdasarkan keperluan air aliran hujan ketika itu.

“Terdapat juga tapak pembangunan yang mendap dan faktor ini juga menjejaskan cerun sistem perparitan sedia ada, mengakibatkan sistem perparitan tidak lagi berfungsi seperti asal.

“Pembangunan yang pesat sejak lebih 20 tahun lalu, di mana kawasan rendah atau paya ditimbus untuk pembangunan, menyebabkan tambahan air larian hujan semasa hujan lebat tidak dapat disalur keluar, mengakibatkan banjir kilat berlaku di tapak pembangunan dan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Yahya berkata hujan lebat yang berterusan dan luar biasa faktor utama memburukkan keadaan banjir.

Menurutnya lagi, hujan lebat yang turun mencatatkan bacaan tertinggi di kawasan Luyang sebanyak 139.5mm Ahad lepas menyebabkan banjir kilat yang teruk di kawasan itu.

“Hujan lebat yang tinggi ini, ditambah dengan pengaruh air pasang surut yang berlaku serentak, di mana paras air laut pasang tertinggi ialah 1.6 meter berlaku sekitar 1.00 tengah hari pada 13 Ogos lepas, menyebabkan banjir kilat berlaku dalam masa yang singkat di sekitar Luyang dan Likas.

“Faktor lain termasuklah sikap orang awam membuang sampah secara haram dan semberono juga menyumbang kepada berlakunya banjir kilat akibat daripada sampah-sarap yang menyekat aliran air di dalam parit,” katanya.

Yahya berkata secara keseluruhan, kedalaman air di setiap kawasan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang terjejas dengan banjir sejak 13 Ogos lepas mencecah 1.2m.

Akibat bencana banjir kilat itu, beberapa jalan utama dan jalan alternatif ditenggelami air, namun tiada pemindahan penduduk dilakukan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments