Fatwa Singapura benarkan bayi Islam minum susu daripada bank susu
Maklumat yang dikumpul Jawatankuasa Fatwa menunjukkan sumber susu daripada bank susu yang diberikan kepada bayi pramatang tidak terhad kepada seorang penderma bagi setiap bayi.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) memutuskan pendermaan susu ibu dan pengambilan susu daripada bank susu ibu dibenarkan untuk bayi pramatang Islam.
Channel News Asia memetik Penolong Pengarah Pejabat Mufti dan Pembangunan Asatizah, Irwan Hadi sebagai berkata, program berkenaan sejajar objektif di bawah undang-undang Islam, termasuk menekankan keperluan untuk bayi itu terus hidup.
Beliau berkata, mengikut undang-undang Islam, bayi berusia 2 tahun ke bawah yang meminum susu daripada ibu susuan sebanyak 5 kali mempunyai hubungan kekeluargaan dengan wanita itu dan beliau tidak boleh berkahwin dengan anak wanita terbabit pada masa depan.
“Tetapi, berdasarkan maklumat dan faktor kombinasi berbeza, Jawatankuasa Fatwa memutuskan tiada hubungan kekeluargaan wujud antara ibu susuan dan bayi yang mendapat susu daripada bank susu di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH),” katanya semasa pelancaran bank susu pertama itu oleh bekas speaker Parlimen, Halimah Yacob, semalam.
Ini kerana, katanya, maklumat yang dikumpul Jawatankuasa Fatwa itu menunjukkan sumber susu yang diberikan kepada bayi pramatang tidak terhad kepada seorang penderma bagi setiap bayi.
Mufti Singapura, Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata, susu penderma yang diproses akan disimpan dalam botol 50ml dan dibahagikan kepada bayi bagi setiap sesi penyusuan harian.
“Seorang bayi mungkin hanya menerima 2 hingga 3 kali susu daripada penderma sama. Ini bermakna mereka menerima susu daripada penderma berbeza sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (Nicu).
“Berdasarkan maklumat yang diterima, setiap bayi akan meminum susu daripada kira-kira 20 penderma sepanjang tempoh kira-kira sebulan di Nicu,” kata Fatris.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menurut laporan itu, susu ibu biologi akan diberikan terlebih dahulu, jika beliau mula menghasilkan susu sendiri dan bekalan daripada bank susu hanya diberikan jika bayi itu kekurangan susu.