Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

MAIJ, MAIWP mohon celah usaha terakhir JPN gantung keputusan ‘bin Abdullah’

 | August 18, 2017

Mahkamah Persekutuan pada Isnin akan mendengar usaha terakhir JPN yang mahu menggantung keputusan mahkamah yang membenarkan anak luar nikah menggunakan nama bapa kandung dalam dokumen rasmi.

MAIJ,-MAIWPPETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin akan mendengar usaha terakhir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menggantung keputusan mahkamah sebelum ini yang membenarkan anak luar nikah menggunakan nama bapa kandung dalam dokumen rasmi.

Bagaimanapun pusingan kali ini bakal menyaksikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) masuk mencelah bagi melindungi kepentingan masing-masing, lapor portal Malay Mail Online (MMO).

MMO melaporkan peguam Nizam Bashir, yang mewakili anak dan ibu bapa terbabit, mengesahkan permohonan dari pihak berkuasa agama, yang akan didengar pada hari yang sama.

Menurut laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ Md Rofiki A Shamsudin dalam afidavit menyokong permohonan mencelah itu berhujah pihak berkuasa agama negeri mempunyai kepentingan undang-undang secara langsung dan perlu menghadiri prosiding untuk mempertahankan kepentingan mereka.

Menurut Rofiki, MAIJ perlu mencelah kerana keputusan Mahkamah Rayuan didakwa memberi kesan kepada tafsiran penggunaan Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Johor) 2003 dan kesahan fatwa negeri mengenai anak luar nikah yang dikeluarkan pada 26 Mac 2004.

MMO melaporkan afidavit itu berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membolehkan mana-mana orang Islam di Johor mendaftarkan anak luar nikah mereka di JPN dengan nama bapa kandung anak itu.

“Ia jelas melanggar undang-undang yang berkuatkuasa di Johor dan fatwa yang dikeluarkan di Johor,” kata Rofiki dalam afidavit itu, menurut MMO.

Mahkamah Rayuan dalam kehakiman yang diterbitkan Julai lalu berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila meletakkan nama bapa seorang anak luar nikah sebagai “Abdullah”.

Mahkamah turut mempertikaikan amalan JPN menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah, walaupun ia berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan lebih 3 dekad laulu.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 26 Julai lalu.

Menurutnya, undang-undang tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

Identiti ibu bapa dan anak mereka yang kini berumur 7 tahun itu tidak dinamakan atas permohonan peguam mereka.

Kanak-kanak itu dilahirkan pada 17 April 2010, 5 bulan dan 27 hari selepas pasangan itu bernikah pada 24 Oktober 2009. Menurut kalendar Islam, ia kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit. Kelahiran itu didaftarkan di JPN 2 tahun kemudian.

MAIJ dan MAIWP tidak terlibat dalam tindakan undang-undang di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Larang ‘bin Abdullah’ untuk anak luar nikah, 2 peguam berbeza pendapat


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments