Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Najib bidas pembangkang perlekeh projek MRT

 | August 18, 2017

Perdana menteri berkata pembangkang memperkecil-kecilkan apa saja usaha kerajaan termasuk jaringan MRT yang kononnya mereka boleh bina dengan kos lebih murah.

najib-mrtKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas sikap pembangkang yang memperkecil-kecilkan usaha kerajaan dalam pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Beliau berkata projek MRT itu diilhamkan bertujuan agar rakyat Malaysia yang tinggal di bandar berpeluang menikmati jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap dan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat, sekaligus mengembangkan lagi ekonomi negara.

“Namun, nampaknya pembangkang masih lagi dengan sikap mereka gemar memperkecil-kecilkan apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat. Ada yang memperkecil-kecilkan jaringan MRT kononnya mereka boleh bina dengan kos lebih murah,” kata Najib dalam catatan blognya hari ini.

Beliau berkata anak tempatan bertungkus lumus menyiapkan MRT pada kos lebih rendah daripada bajet dan siap lebih awal daripada jadual.

“Yang lucunya, baru-baru ini sudah mula terbongkar di negeri mereka tentang skandal banglo, rumah, Disneyland, harga terowong, pintu gerbang dan lebuh raya yang dibina berlipat ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Ke mana hilangnya wang ini? Apakah skandal kewangan mereka ini tujuan untuk membina MRT dengan lebih murah?,” soal Najib.

Perdana menteri berkata rakyat sentiasa memerhati usaha kerajaan selain mereka tidak terlepas pandang dengan pelbagai perkara aneh dalam pentadbiran pembangkang.

“Pokoknya, projek MRT Line 1 kini sudah siap dan rakyat Malaysia mula menikmati kemudahan ini,” katanya.

Najib berkata beliau juga teruja untuk memastikan pelbagai lagi transformasi dijalankan ke atas sistem pengangkutan awam negara di masa depan.

Projek MRT SBK dengan kos RM21 bilion melibatkan 31 stesen dengan laluan fasa pertama sebanyak 11 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan mula beroperasi 16 Disember tahun lepas, manakala laluan fasa ke-2 melibatkan 20 stesen antara Muzium Negara dan Kajang mula beroperasi pada 17 Julai lepas.

Ia memberi perkhidmatan di sepanjang koridor dari Sungai Buloh ke Kajang yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai 4 gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan 3.5 minit dan dianggarkan bilangan penumpang harian lebih 400,000 orang.

Projek MRT SBK itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan sistem pengangkutan yang selesa dan lebih murah di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan masalah tekanan di kalangan orang ramai, membantu alam sekitar di segi pengurangan pelepasan karbon dan mempergiatkan lagi kegiatan ekonomi di koridor tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments