PH ciplak idea Umno beri petrol percuma, kata ketua pemuda WP
Razlan Rafii mencabar Pakatan Harapan mendedahkan sumber kewangan yang membiayai program pemberian petrol percuma.
Menurutnya, program pemberian petrol percuma oleh Pakatan Harapan menunjukkan gabungan pembangkang ketandusan idea untuk menarik sokongan rakyat.
“PH ini suka meniru Umno. Kalau nak tiru biarlah ikhlas. Malah, tindakan PH bertujuan mencari publisiti murahan semata-mata, bukan untuk meringankan beban rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas program pemberian petrol percuma anjuran Pakatan Harapan Parlimen Kelana Jaya Ahad ini. Razlan mencabar PH melakukan program pemberian petrol percuma di seluruh kawasan Parlimen jika ikhlas membantu rakyat.
“Kita buat di semua 13 Parlimen setiap bulan di Kuala Lumpur. Malah sudah 6 bulan kita buat program itu. Setakat PH buat program sekali, heboh 1 kampung,” katanya.
Sementara itu, Razlan mencabar PH mendedahkan sumber kewangan yang membiayai program pemberian minyak percuma itu.
“Kami juga nak soal PH siapa yang bagi dana ini, adakah mereka ini mengunakan duit yang dikumpulkan keluarga Dr Mahathir selama ini atau duit dikumpul Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Sebelum ini, DAP mempersoalkan sumber kewangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan yang membiayai petrol percuma kepada lebih 100,000 penunggang motosikal setiap bulan, dan mahu bukti ia daripada dana parti.
“BN wajar diberi amaran supaya tidak menggunakan wang pembayar cukai melalui peruntukan kerajaan untuk program petrol percuma ini. Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat sekiranya mereka tidak boleh membuktikan mereka menggunakan dana mereka sendiri,” kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.
Menurut perkiraannya, program petrol percuma yang menyasarkan 117,000 motosikal sekali sebulan itu boleh melibatkan perbelanjaan lebih RM7 juta.
Dari mana dapat duit beri petrol percuma, DAP soal BN
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram