Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Berkhidmat di bawah 3 PM, masa depan Musa Aman masih cerah

 | August 21, 2017

Ia di sebalik pelbagai cabaran di peringkat negeri termasuk penubuhan parti pembangkang baharu di bawah bekas menteri persekutuan.

musa-aman

KOTA KINABALU: Datuk Seri Musa Aman hampir pasti kekal ketua menteri Sabah sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya negeri akan datang.

Ia di sebalik desas desus 2 pemimpin Sabah yang kini di peringkat pusat, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang dilihat semakin aktif menyebabkan spekulasi mereka mungkin menjadi pengganti.

Pandikar yang mengetuai Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) sebelum ini berkata mahu kembali aktif dalam politik, dan beberapa tindakan kontroversi beliau di Dewan Rakyat dilihat pembangkang sebagai usaha untuk menyatakan sokongan kuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan serangan berhubung 1MDB.

Sementara Salleh yang pernah memegang jawatan ketua menteri selama 2 tahun kira-kira 20 tahun lalu juga dilihat mempunyai kelayakan memimpin negeri itu sekali lagi.

Salleh yang pernah menjawat Speaker DUN Sabah dari 2010 hingga 2015 merupakan anak bekas ketua menteri Sabah, Tun Mohammad Said Keruak.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang paling ke depan mempertahankan Najib daripada serangan pembangkang.

Bagaimanapun, ia tidak melunturkan Musa sebagai penyandang ketua menteri.

Selepas dilantik sebagai menteri kewangan Sabah pada 2001, bajet negeri mencatatkan lebihan. Kini, rezab negeri dilaporkan dalam lingkungan RM3 bilion.

Di bawah pentadbirannya, Sabah dilaporkan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar daripada 25% kepada 5%. Di peringkat korporat, pelbagai syarikat berkait kerajaan (GLC) mula mencatatkan keuntungan dan kini menyumbang lebih RM200 juta setahun kepada dana negeri.

Musa juga berjaya menjadikan pelancongan salah satu punca pendapatan utama. Tahun lalu, Sabah mencatatkan rekod jumlah kedatangan pelancong sebanyak 3.43 juta yang menyumbang RM7.25 bilion.

Najib memuji Musa kerana berjaya mengubah Kota Kinabalu kepada sebuah bandar yang pesat membangun dengan pelbagai kemudahan termasuk pusat beli-belah, hospital, hotel dan pelbagai jalan raya utama yang sibuk.

Bagaimanapun, tahun lalu pentadbiran negeri berdepan masalah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas tunai sebanyak RM114.5 juta, rampasan paling besar dalam sejarah SPRM, melibatkan Jabatan Air negeri.

Musa bagaimanapun berjaya mengatasinya dengan mengarahkan kajian ke atas semua dana luar ke dalam jabatan dan agensi negeri.

Musa sudah berkhidmat di bawah 3 perdana menteri dan pada setiap pilihan raya sejak 2004, beliau berjaya memastikan kemenangan selesa kepada BN.

Pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, BN Sabah memenangi kesemua kecuali satu kerusi. Pada 2013, ia mengekalkan kebanyakan kerusinya walaupun ketika pembangkang bertambah kuat di negeri itu.

Bagaimanapun, pemerhati bersetuju peringkat Parlimen akan lebih mencabar buat BN, dengan isu seperti hak negeri Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang dilihat dekat dengan pengundi tempatan.

Pembangkang di Sabah sudah tentu bakal memberikan cabaran lebih hebat dengan tertubuhnya Parti Warisan Sabah di bawah bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, yang dilihat banyak menerima sokongan terutama di bahagian pantai timur negeri itu.

Bagaimanapun, ketiadaan sebarang konsensus parti pembangkang tempatang dengan Pakatan Harapan dilihat akan memberi kemenangan besar kepada BN Sabah.

Tanpa penyatuan di kalangan pembangkang, kemenangan Sabah hampir dijamin, dan trek rekod Musa akan dibalas Najib dengan mengekalkannya sebagai ketua menteri.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments