Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

CyberSecurity nasihat pengendali laman tingkat keselamatan elak digodam

 | August 21, 2017

CyberSecurity Malaysia berkata, sekurang-kurangnya 33 laman di Malaysia digodam sebagai protes terhadap kesilapan mencetak bendera Indonesia secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.

csm-hack-3

PETALING JAYA: CyberSecurity Malaysia memberi amaran kepada pengendali laman di negara ini supaya mengambil langkah melindungi sistem mereka, selepas sekurang-kurangnya 33 laman digodam sebagai membantah bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku khas cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, serangan itu adalah “nyata” dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu sedang menyiasat dan memantaunya.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan badan lain untuk mengurangkan serangan itu.

Beliau memberitahu FMT sekurang-kurangnya 33 laman Malaysia digodam hari ini sehingga 3.40 petang tadi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan organisasi menggunakan program pertahanan siber mendalam untuk melindungi rangkaian mereka.

Katanya, sistem, aplikasi dan tambahan pihak ketiga perlu dikemas kini dengan kemas kini terbaru dan “patch” keselamatan.

“Jika anda menggunakan sistem operasi atau perisian versi lebih lama, pastikan ia dinaik taraf kepada versi terkini. Versi lama mungkin mempunyai beberapa kelemahan yang boleh dimanipulasi penceroboh,” katanya.

Amirudin turut menggesa pengendali sistem laman untuk mengukuhkan konfigurasi rangkaiamn mereka, sistem operasi dan komponen aplikasi yang mungkin disasarkan serangan distributed-denial-of-service (DDoS).

Serangan DDoS berlaku apabila lebar jalur sistem yang disasarkan dipenuhi trafik – biasanya daripada mesin digodam atau dijangkiti virus – untuk mengatasi kapasiti sistem dan menyekat akses kepada perkhidmatannya.

“Organisasi disyorkan melakukan penilaian kerentanan dan ujian penebusan terhadap sistem mereka,” katanya.

Agensi berita AFP hari ini melaporkan sekumpulan penggodam Indonesia yang menggelar diri “ExtremeCrew” mengaku bertanggungjawab menyerang lebih 30 laman Malaysia sebagai protes terhadap kesilapan mencetak bendera merah putih Indonesia secara terbalik dalam buku khas cenderamata KL2017 untuk upacara perasmian temasya 2 tahun sekali itu pada Sabtu lalu.

Portal berita Indonesia, Suara.com pula melaporkan penggodam daripada kumpulan “hacker rulez” menggodam laman yang kebanyakannya milik persendirian dan blog perniagaan di Malaysia.

Antara laman yang menjadi mangsa ialah kualalumpurmalaysia.com, yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan Azizi Ali.

Klik ke laman itu membawa pengunjung ke sebuah lagi laman milik Azizi, www.beahappymillionaire.com, yang kini tertera ayat “Bendera negaraku bukanlah mainan”.

Gambar daripada halaman buku rasmi Sukan SEA yang menjadi kontroversi itu juga dimuat naik, dengan lagu kebangsaan Indonesia “Tanah Air Beta” bermain sebagai bunyi latar.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan mencetak bendera negara itu.

Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc) turut memohon maaf kepada semua rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Khairy selaku pengerusi Masoc turut memohon maaf kepada rakan sejawatannya, Imam Nahrawi, dalam kunjungan hormat semalam.

Wisma Putra turut menyampaikan permohonan maaf kepada kerajaan Indonesia berhubung kesilapan itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, walaupun perkara itu sangat dikesali, namun rakyatnya diminta tidak bersikap berlebihan dan memperbesarkan isu itu.

Ratusan anggota beberapa pertubuhan hari ini mengadakan protes di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dengan menuduh penganjur KL2017 sengaja mencetak bendera Indonesia secara terbalik.

Hackers Indonesia serang laman Malaysia, pakar motivasi jadi mangsa

Presiden Indonesia: ‘Tidak usah besarkan isu bendera dicetak terbalik’

Khairy: ‘Cetak bendera terbalik kesilapan sangat besar’


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments