Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

JPN boleh teruskan amalan ‘bin Abdullah’ selepas mahkamah benar penangguhan

 | August 21, 2017

Tiga anggota panel hakim membenarkan permohonan peguam kanan persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan, sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Persekutuan.

JPN-AbdullahPUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 2 lagi pihak untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai 3 anggota panel hakim membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan, sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, sesuatu pihak perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan sebelum mereka boleh meneruskan sesuatu rayuan. JPN dan 2 lagi pemohon mengemukakan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan dan mahkamah tertinggi itu menetapkan 8 September untuk mendengar kes berkenaan.

“Kami membenarkan permohonan penangguhan itu berkuat kuasa hari ini dan tiada perintah mengenai kos,” kata Raus.

Terrirudin yang mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan Malaysia memohon Mahkamah Persekutuan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang diumumkan 25 Mei lepas.

Raus yang bersidang dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin turut membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk mencelah dalam permohonan penangguhan 3 pemohon itu.

Bagaimanapun, panel hakim itu membatalkan permohonan sama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kedua-dua majlis agama itu diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.

Raus sebelum itu menasihatkan Sulaiman menjadi amicus curiae dalam kes ini (secara literalnya bermakna rakan mahkamah, penasihat yang adil) kerana kes berkenaan merupakan semakan kehakiman dan bukan kes saman.

“Saya mahu kes ini diselesaikan segera dan kita tidak mahu pelbagai pihak mencelah serta berhujah atas perkara sama,” kata Raus.

Peguam, K Shanmuga yang mewakili ketiga-tiga responden membantah permohonan itu, tetapi bersetuju peguam bagi kedua-dua majlis agama itu dijadikan amicus curiae.

Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan pasangan itu dan anak lelaki mereka yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan ketua pengarah JPN menukar perkataan “Abdullah” sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada 25 Julai lalu berkata, ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Mahkamah itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah JPN bersifat sivil dan hanya terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Mahkamah itu memutuskan fatwa bukan perkara wajib diterima undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 12 A (2) BDRA.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments