Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Polis siasat Rafizi dakwa urus niaga Malaysia-Arab rugi RM142 juta

 | August 21, 2017

Naib presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, polis menyiasat dakwaan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memfitnah.

rafizi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli disoal siasat polis hari ini susulan dakwaannya berhubung urus niaga kerajaan Malaysia dan Arab Saudi membabitkan kerugian sebanyak RM142 juta.

Naib presiden PKR itu berkata, polis menyiasat dakwaan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memfitnah.

“Saya dipanggil untuk disoal siasat mengenai 2 kenyataan dan 1 rakaman video mengenai pelaburan Prasarana di Arab Saudi yang saya bongkarkan rugi RM142 juta berdasarkan jawapan diberikan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.

“Saya faham kenapa kontroversi (ini timbul) kerana kenyataan dan rakaman video saya itu menyentuh walaupun Najib mengaku Arab Saudi menderma kepada dia, tetapi sebenarnya berdasarkan rekod, yang bagi derma ialah rakyat Malaysia kepada Arab Saudi,” katanya kepada FMT di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau hadir ke balai polis pada jam 5.15 petang tadi dan menghabiskan sejam setengah untuk merekodkan keterangannya.

Pada 27 Julai lalu, Rafizi mendakwa Malaysia terpaksa menanggung kerugian dalam urus niaga dengan Arab Saudi, sejak isu derma RM2.6 bilion didedahkan.

Najib sebelum ini berkata, RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi untuk jentera pilihan raya Umno pada 2013, walaupun ada pihak mendakwa ia ada kaitan dengan skandal 1MDB.

Dalam sidang media di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, Rafizi berkata, Prasarana Malaysia Berhad bakal mengalami kerugian RM142 juta dalam projek kereta api metro di Arab Saudi, selepas jawapan bertulis menteri kewangan memaklumkan projek itu menyebabkan syarikat terbabit rugi RM100 juta.

Dalam kenyataan 27 Julai lalu, Rafizi menamakan 2 lagi kerugian negara yang dikaitkan dengan Arab Saudi, antaranya penyertaan tentera Malaysia dalam kempen ketenteraan Arab Saudi di Yaman.

Rafizi mendakwa, walaupun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan tujuan tentera Malaysia di sana lebih kepada latihan dan tidak keluar dari sempadan Arab Saudi, maklumat dari “tentera yang ditugaskan di sana” mengatakan negara menyediakan sokongan logistik kepada operasi.

Wakil rakyat PKR itu turut membangkitkan pelaburan Saudi Arabian Oil Company (Aramco) dalam projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) Petronas di Pengerang, Johor yang didakwa membolehkan Aramco membeli bahan asas pada “harga yang merugikan Petronas”.

Perjanjian usahasama bernilai RM31 bilion itu ditandatangani 28 Februari lalu, ketika kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa tindakan polis menyiasatnya menunjukkan kerajaan takut perkara itu diketahui rakyat dan beliau bersedia menghadapi kemungkinan didakwa di mahkamah.

Kerjasama hanya menguntungkan Arab Saudi sejak RM2.6 bilion, kata Rafizi


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments