Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Balu Ibrahim Libya setuju RCI siasat tragedi Memali

 | August 22, 2017

Soleha Husin dan 5 anaknya mahu 'kebenaran' tragedi pada 19 November 1985 itu dibongkar melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja.

rci_memali_600PETALING JAYA: Keperitan selama 32 tahun masih dirasai Soleha Husin di Kampung Memali, dekat Baling, kerana suaminya yang menjadi sasaran serbuan polis pada hari bersejarah itu yang meragut 18 nyawa.

Beliau ialah balu Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, seorang guru agama dikehendaki pihak berkuasa dan salah seorang mangsa korban dalam serbuan itu.

Wanita berusia 65 tahun itu yang dipetik New Straits Times, menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas tragedi Kampung Memali dengan berkata, separuh daripada hidupnya beliau menunggu kebenaran pertumpahan darah yang mengorbankan 13 penduduk Kampung Memali lain dan 4 anggota polis pada 1985 itu, dibongkarkan.

Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengungkit peristiwa lebih 3 dekad lalu itu dengan berkata, kematian 14 penduduk kampung itu ialah tanggungjawab bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, seorang hadirin di forum Nothing to Hide 2.0 yang diadakan di Shah Alam, pada 13 Ogos lalu, bertanya soalan mengenai tragedi Memali kepada Dr Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, tragedi Memali diisytiharkan darurat kerana ia adalah prosedur operasi standard polis apabila 4 anggotanya turut terbunuh dalam kejadian itu.

Sejak itu, Memali menjadi tumpuan rakyat dan Zahid pada Ahad lalu berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji kejadian itu, jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik.

Menurut laporan New Straits Times, Soleha berharap RCI itu ditubuhkan supaya orang ramai tahu “kebenaran” mengenai tragedi itu, selain memberi keadilan kepada suaminya dan mangsa korban pada hari kejadian.

“Masih berlegar dalam fikiran saya, darah berlumuran depan rumah kami dan atas jalan raya selepas seorang penduduk kampung ditembak mati polis,” katanya di rumahnya, di Kampung Charok Putih Siong, Memali, mengimbau kejadian 19 November 1985 itu.

“Saya juga masih ingat meribakan suami saya sebelum beliau meninggal dunia akibat ditembak ketika berada dalam rumah.”

Beliau menceritakan kemarahannya terhadap cara polis melayan penduduk Kampung Memali pada hari itu.

“Mereka semua penoreh getah yang bergegas membantu suami saya pagi itu, apabila mendengar berita polis akan menahannya. Polis melayan mereka seperti penjenayah.”

Beliau terkenang kesengsaraan akibat kehilangan suami, bercampur tindakan rakyat memandang rendah terhadap keluarganya selepas serbuan polis dilaporkan.

“Suami saya mengajar kelas agama kepada penduduk, tetapi dituduh menyebarkan ajaran sesat.”

Soleha berkata, 5 anaknya juga gembira mendengar kemungkinan RCI ditubuhkan untuk menyiasat kematian Ibrahim dan serbuan polis yang mengubah hidup mereka.

“Anak saya masih kecil semasa tragedi itu berlaku. Mereka tiada di rumah ketika bapa mereka ditembak.”

Beliau berkata, ramai orang menziarahi keluarganya untuk mengetahui cerita sebenar.

“Semua orang hairan mengapa polis mengambil tindakan itu yang mengorbankan nyawa orang tidak bersalah.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments