Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kritik serbuan SPRM, kerajaan Selangor ‘hipokrit’, kata pegawai PM

 | August 22, 2017

Rizal Mansor berkata ahli politik pembangkang menyokong SPRM apabila tindakan sama diambil terhadap pegawai kerajaan dan ahli politik BN.

rizal

PETALING JAYA: Seorang pegawai khas perdana menteri hari ini membidas kerajaan Selangor kerana menuduh serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor tindakan terancang untuk menjejaskan imej kerajaan negeri.

Datuk Rizal Mansor menyifatkan kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan bersama PAS itu sebagai hipokrit kerana ahli politik pembangkang menyokong SPRM apabila tindakan sama diambil terhadap pegawai kerajaan dan ahli politik Barisan Nasional (BN).

“Bila ada pegawai kerajaan atau ahli politik BN diambil tindakan seperti kes Felda dan kes status perumahan di Johor, pembangkang tiba-tiba menyokong tindakan SPRM pula. Malah mereka pergi lebih jauh dari itu dengan terus membuat kesimpulan bahawa yang disiasat itu telah bersalah sedangkan ianya belum terbukti di mahkamah.

“Bila SPRM siasat perkara yang berkaitan dengan mereka, maka semuanya tidak betul. Bagi mereka semuanya adalah ‘konspirasi’ dan ‘salahguna kuasa’ pihak atasan untuk menjatuhkan pembangkang. Jadi apakah mereka ni tidak langsung boleh disentuh? Amat jelas bahawa mereka ini benar-benar hipokrit,” katanya kepada FMT.

Rizal mengingatkan kerajaan Selangor tidak wajar membuat tuduhan melulu terhadap SPRM kerana serbuan itu hanya sebahagian proses siasatan.

“Kalau ‘nothing to hide’ (tidak sembunyikan apa-apa) biarlah siasatan dijalankan. Beri kerjasama sepenuhnya dan jangan buat tuduhan melulu kepada pihak berkuasa. Apa yang perlu ditakutkan? Ini masanya untuk mereka tunjuk ketelusan dan kejujuran yang dijaja selama ini,” tambahnya.

“Baru disiasat sudah mula beri pelbagai alasan dan tuduhan, jelaslah bahawa (menteri besar) Azmin Ali dan kuncu-kuncunya adalah ‘politikus’ yang cakap tak serupa bikin.”

Rizal menjawab kenyataan pegawai di pejabat menteri besar Selangor yang mendakwa serbuan SPRM ke atas Unisel dan MBI tindakan terancang untuk menjejaskan imej kerajaan negeri.

“Ia secara terang-terangan menunjukkan tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej kerajaan Selangor yang tuntas berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” kata Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Long.

Terdahulu SPRM menyerbu pejabat MBI dan Unisel bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan universiti itu dengan bekas kontraktor, Jana Niaga Sdn Bhd, dan dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit.

Anggota SPRM dari Putrajaya berpakaian seragam memulakan serbuan pada 10.00 pagi di kampus Unisel di Seksyen 7, Shah Alam dan Bestari Jaya, Kuala Selangor; pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam; dan pejabat Jana Niaga di Bestari Jaya dan Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Menerusi maklumat awal yang diperolehi oleh SPRM, MBI membayar duit tersebut kepada Jana Niaga sedangkan syarikat tersebut telah ditamatkan kontrak oleh Unisel. Menurut sumber, MBI membuat bayaran kepada Jana Niaga menerusi 2 transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta pada 2016.

MBI menafikan pernah membuat bayaran RM60 juta kepada bekas kontraktor itu, dan berkata mahkamah tidak pernah memutuskan kontraktor, dan Unisel, melakukan kesalahan.

Serbuan SRPM mahu jejaskan imej kerajaan Selangor, kata pegawai MB

Selepas Unisel, SPRM serbu pejabat SUK Selangor


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments