Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Peguam terkejut Khalid tak tahu SOP larang suspek berbaju lokap

 | August 22, 2017

N Surendran berkata, tiada peruntukan dalam Peraturan-peraturan lokap 1953 yang memberi kuasa kepada polis untuk membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian seragam lokap.

surendran_khalid-abu-bakar_600

PETALING JAYA: Seorang peguam mempersoalkan tahap kesedaran ketua polis negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) Bukit Aman sendiri yang melarang suspek direman dibawa ke mahkamah dengan berpakaian seragam lokap.

N Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai merujuk SOP bertajuk “Prosedur Kualiti Pengurusan Lokap, Bukit Aman” yang dikeluarkan pada 1 Julai 2014.

“Polis dengan itu melanggar SOP sendiri setiap hari dalam layanan terhadap suspek direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan amalan membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian lokap supaya pihak keselamatan dapat mengecam dan mengenal pasti tahanan dengan mudah.

Beliau berkata: “Tahanan polis ramai, kita bawa dengan lori ke mahkamah. Kalau dia berpakaian biasa, macam orang biasa, kalau jadi apa-apa kita tak dapat mengambil tindakan dengan pantas.”

Ia selepas Surendran mempersoalkan amalan itu berlawanan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang mahu layanan adil diberikan kepada pesalah undang-undang, di samping melanggar Peraturan Penjara 2000.

Beliau mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa 2 suspek terkenal ke mahkamah untuk permohonan reman dengan berpakaian seragam lokap SPRM berwarna oren.

Dua tahanan itu ialah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Surendran berkata, tiada peruntukan dalam Peraturan-peraturan lokap 1953 yang memberi kuasa kepada polis untuk membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian seragam lokap kerana undang-undang menganggap orang ditahan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Membawa suspek ke prosiding mahkamah dengan berpakaian seragam lokap secara dasarnya salah. Ia adalah prinsip kardinal untuk membenarkan suspek atau tertuduh hadir ke mahkamah berpakaian biasanya, bukannya memakai baju seragam yang memberi kesan melabelkan mereka sebagai penjenayah atau penjahat.”

Wakil rakyat PKR itu berkata, ia melanggar hak suspek atau tertuduh untuk dibicarakan secara adil di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, apabila mereka dipaksa berpakaian seragam lokap di depan hakim.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM tidak mempertahankan amalan haram dan tidak berperlembagaan itu.

“Amalan ini perlu dihentikan serta-merta. Ia tidak boleh diteruskan walaupun untuk sehari lagi.”

Suspek dipakaikan ungu supaya senang dicam, kata Khalid


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments