Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Selepas kembara darat 15,000km, bakal haji gagal dapat visa

 | August 22, 2017

Permohonan visa haji kumpulan pengembaraan Kembara Inspirasi Haji ditolak selepas mengharungi 15,000 kilometer melalui 8 negara untuk menunaikan haji.

kembara-inspirasi-haji

DUBAI: Selepas mengharungi perjalanan darat hampir 15,000 kilometer untuk menunaikan haji, hasrat utama peserta Kembara Inspirasi Haji itu mungkin tidak kesampaian disebabkan kegagalan mereka mendapatkan visa haji daripada Tabung Haji (TH).

Mereka dimaklumkan mengenai penolakan permohonan visa haji itu semasa berada di Iran minggu lepas, oleh wakil penganjur Pertubuhan Kembara AMAL (PEKA) di Kuala Lumpur selepas dimaklumkan oleh pejabat pengurus besar operasi domestik TH.

Berita kurang menyenangkan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pengarah projek Kembara, Khir Ariffin yang tetap berusaha untuk mendapatkan visa haji termasuk termasuk berjumpa Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Datuk Yubazlan Yusof semalam.

Bagaimanapun, Yubazlan memaklumkan amat sukar bagi mereka membuat permohonan visa haji di sini kerana ia harus dilakukan di Kuala Lumpur dengan kelulusan TH mengikut kuota haji yang diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurut Khir, mereka memulakan pengembaraan pada 18 Julai sebelum mendapat kelulusan visa haji kerana ketika itu permohonan visa haji belum dibuka oleh kerajaan Arab Saudi.

Peserta kembara juga perlu mengejar masa kerana mereka harus berada di Dubai pada 21 Ogos selepas mengharungi beberapa negara untuk lebih 1 bulan bagi membolehkan mereka ke tanah suci sebelum hari wukuf.

“Sebelum berangkat melakukan pengembaraan ini saya dan beberapa orang lain telah berjumpa dengan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang pada dasarnya memberi persetujuan bagi kelulusan permohonan visa haji itu,” katanya kepada Bernama.

Difahamkan Abdul Azeez menyerahkan kepada Pengurus Besar Operasi Domestik Tabung Haji Datuk Ruzman Ahmad Razali untuk mengendalikan permohonan visa haji bagi semua peserta Kembara terbabit.

Malah, pegawai PEKA turut membuat susulan mengenai permohonan visa haji itu dengan berjumpa Abdul Azeez yang masih yakin TH dapat mengeluarkan visa haji tersebut.

Bagi memastikan mereka memperoleh visa haji tersebut, seorang peserta Kembara terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk mengendalikan urusan berkenaan namun dimaklumkan penolakan permohonan itu disebabkan kuota haji sudah penuh dan permohonan visa haji sudahpun tutup.

Berdasarkan perancangan, peserta Kembara akan meninggalkan kedua-dua kenderaan di sini untuk dibawa pulang ke tanah air menerusi perkhidmatan kargo dan mereka pula meneruskan perjalanan ke Makkah dengan kapal terbang.

“Kami berharap dan menyeru kepada mana-mana pihak di luar sana yang dapat membantu kerana kami sudah melakukan perjalanan ribuan kilometer untuk sampai ke tahap ini, malah di mana-mana tempat kami pergi dan berhenti rehat ramai yang mendoakan agar kami sampai ke tanah suci,” katanya.

Beliau berkata banyak halangan luar jangka dihadapi peserta termasuk dimaklumkan kenderaan pemanduan sebelah kanan dilarang masuk ke Dubai.

“… tetapi alhamdulillah kami dibenarkan untuk menggunakan kenderaan ini di Dubai. Jadi kami masih yakin dan berdoa agar dapat teruskan perjalanan sehingga ke tanah suci,” tambahnnya.

Peserta Kembara sudah melalui Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran serta Emiriah Arab Bersatu dan kini berharap dapat meneruskan perjalanan ke tanah suci iaitu tujuan utama pengembaraan yang penuh dengan cabaran dan dugaan itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments