Unisel: SPRM bawa keluar 1 kotak dokumen dari pejabat MBI Selangor
Kotak tersebut dipercayai mengandungi dokumen berkaitan pertikaian kontrak membabitkan Unisel dengan bekas kontraktor, dan dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit.
Kotak tersebut dipercayai mengandungi dokumen berkaitan pertikaian kontrak membabitkan Universiti Selangor (Unisel) dengan bekas kontraktor, Jana Niaga Sdn Bhd, dan dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit.
“Siasatan masih di peringkat awal dan kita akan mengumpul bukti-bukti dan maklumat yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil,” kata Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani, mengesahkan penggeledahan dan rampasan tersebut.
SPRM hari ini menyerbu dan menggeledah 5 lokasi bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berhubung pembayaran oleh MBI kepada Jana Niaga, yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Menerusi maklumat awal yang diperolehi oleh SPRM, MBI membayar duit tersebut kepada Jana Niaga sedangkan syarikat tersebut telah ditamatkan kontrak oleh Unisel. Menurut sumber, MBI membuat bayaran kepada Jana Niaga menerusi 2 transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta pada 2016.
Menurut sumber itu lagi, siasatan SPRM menjurus kepada punca pembayaran tersebut sedangkan Jana Niaga gagal melaksanakan kontrak yang diberikan mengikut kontrak perjanjian pelaksanaan kerja-kerja di Unisel sekitar 2012.
Serbuan ini serentak dengan serbuan ke atas pejabat Unisel di Shah Alam dan Bestari Jaya; dan pejabat Jana Niaga di Bestari Jaya dan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Sumber memberitahu FMT Ketua Pegawai Eksekutif MBI Raja Shahreen Raja Othman kini di Mekah, Arab Saudi untuk mengerjakan haji dan Ketua Pegawai Operasi MBI Soffan Affendi mengiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang mengadakan lawatan ke luar negara, menyebabkan SPRM mengambil butiran daripada pegawai MBI lain.
“Meskipun kerajaan Selangor mengalu-alukan siasatan oleh SPRM berhubung laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri, SPRM dituntut supaya menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik,” kata Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor, Yun Shao Loong kepada serbuan hari ini.
MBI pada 25 Julai lepas mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.
MBI menafikan pernah membuat bayaran RM60 juta kepada bekas kontraktor itu, dan berkata mahkamah tidak pernah memutuskan kontraktor, dan Unisel, melakukan kesalahan.
Menurut MBI, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun bekas kontraktor itu dikatakan mengingkari perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran, tidak benar.
Selepas MBI menyatakan terdapat proses untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran itu, pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor mempersoalkan bila proses timbangtara dilakukan dan siapa yang terlibat.
Merujuk kepada dakwaan sebuah blog, Rizal berkata Unisel didakwa tidak bersetuju dengan terma yang dicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga.
Bila proses timbangtara Unisel-Jana Niaga dilakukan, soal Rizal Mansor
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram