Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Johor sasar pelancong Islam dari China

 | August 23, 2017

Pelancong China lazimnya berkunjung ke Malaysia bermula pertengahan Julai hingga Ogos.

johor-pelancong-chinaGANSU (China): Johor menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong Islam dari China khususnya dari Wilayah Autonomi Xinjiang dan Gansu yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong yakin pelbagai tarikan yang ada di negeri itu mampu menarik pelancong dari kedua-dua wilayah berkenaan.

“Dari segi agama dan budaya, kita ada persamaan. Kita ada masjid, surau dan restoran halal yang boleh menarik minat mereka untuk mengetahui secara dekat budaya dan agama kita,” kata beliau kepada Bernama hari ini.

Tee mengetuai misi perdagangan ke Xinjiang dan Gansu bersama 10 anggota delegasi yang mewakili beberapa agensi kerajaan negeri sejak 17 Ogos hingga hari ini.

Beliau berkata Johor boleh memanfaatkan keindahan pulau serta pantainya selain taman tema untuk menarik pelancong Islam dari wilayah berkenaan.

“Wilayah Gansu mempunyai 23 juta penduduk yang sebahagian besar beragama Islam sementara 60% daripada 25 juta penduduk di Wilayah Xinjiang adalah orang Islam, sekali gus menawarkan potensi besar kepada Johor,” kata Tee.

Pelancong China lazimnya berkunjung ke Malaysia bermula pertengahan Julai hingga Ogos yang merupakan musim sejuk di negara berkenaan.

Menurut Tourism Malaysia, Johor merekodkan ketibaan 4.9 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga September 2016 dengan 1.81 juta adalah pelancong antarabangsa.

Semalam, Tee melawat Anduo Group, pengeluar produk makanan dan barangan berasaskan yak dan kambing tibet, serta Hualing Industrial Group yang mengeluarkan produk berasaskan susu yak.

Delegasi turut dibawa melawat ladang penternakan yak dan kambing tibet di padang rumput berdekatan.

Gannan yang tersenarai antara 50 tempat yang harus dikunjungi di dunia, diliputi padang rumput seluas 6.6 juta ekar dan merupakan kawasan padang rumput kelima terbesar di China.

Dalam kunjungan itu, delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Datuk Bandar Gannan, Fan Wude.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments