Kes culik kanak-kanak, pelajar IPT hadapi 7 tuduhan
Umar Ariffin didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun itu dari rumahnya di sebuah IPT di Port Dickson pada 14 Ogos lalu.
Tertuduh Umar Ariffin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Di hadapan Hakim G Ramesh, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menculik kanak-kanak itu dari rumahnya di sebuah IPT di Port Dickson, kira-kira 3.30 pagi pada 14 Ogos lalu.
Tertuduh yang didakwa menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Ramesh menetapkan ikat jamin RM5,000 dan kes disebut semula pada 25 September ini.
Sementara itu, di hadapan Hakim Noor Hayati Mat, tertuduh didakwa dengan 6 pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap mangsa.
Lima daripada pertuduhan terbabit didakwa dilakukan kira-kira 3.30 pagi pada 14 Ogos lalu di rumah tertuduh di Bandar Springhill, Lukut, Port Dickson.
Dua pertuduhan menurut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan 3 lagi mengikut Seksyen 14(d) akta sama.
Umar juga berdepan satu lagi pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap mangsa antara 3.00 pagi dan 4.00 pagi pada 14 Jun lalu di tepi bangunan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer sebuah IPT di Port Dickson.
Dia dituduh menurut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Umar yang diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan M Sivam, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan untuk setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Noor Hayati membenarkan ikat jamin RM20,000 untuk semua 6 pertuduhan dengan syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di Balai Polis Lukut setiap bulan serta tidak dibenarkan mendekati mangsa dan keluarganya.
Hakim menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes.
Tujuh kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norsyazwani Ishak.
Sementara itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri sebuah motosikal dan memiliki barang curi.
Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
Untuk pertuduhan mencuri motosikal, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Surau An-Nur, Bandar Springhill antara 7.15 malam dan 8.00 malam pada 29 Julai lalu.
Tertuduh didakwa menurut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara 1 hingga 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi kesalahan memiliki barang curi termasuk telefon bimbit yang didakwa dilakukan di rumahnya di Bandar Springhill pada 5.45 petang.
15 Ogos lalu, Umar dituduh menurut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang meperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret K.B Elena Hing Tze Lan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 untuk pertuduhan mencuri dan RM500 bagi kesalahan memiliki barang curi, serta menetapkan 21 September untuk sebutan semula kes.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng dan tertuduh diwakili peguam K Mahalakahimi. Tertuduh membayar semua wang jaminan berjumlah RM28,500.