Penduduk berang ahli majlis rajin diberhentikan
Anggota majlis perwakilan penduduk berkata MBPJ sepatutnya rujuk mereka terlebih dahulu sebelum memberhentikan Shatiri Mansor.
Kumpulan itu, yang terdiri daripada pertubuhan masyarakat dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3, yang meliputi kawasan Seksyen 3 hingga 12 Kota Damansara, Sunway Damansara dan Kampung Selamat Sungai Buloh, mahu penjelasan mengenai pengguguran itu dalam masa 24 jam.
“Tempoh khidmat beliau masih berbaki 4 bulan lagi, berakhir pada 31 Disember. Mengapa dia diberhentikan secara tergesa-gesa?
“Kami ingin menyatakan kami khuatir mengenai cara beliau digugurkan, di mana pihak berkuasa tempatan tidak mengambil kira pandangan dan sentimen penduduk.
“Sepatutnya mereka rujuk kami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Tambahan pula, penduduk sudah mengadakan perbincangan dan mengatur banyak program sehingga hujung tahun ini, yang sekarang tergendala,” kata mereka dalam kenyataan.
Kumpulan itu berkata MBPJ mesti telus dan profesional, dan mendengar pendapat penduduk sebelum mengambil tindakan.
Beliau menambah MBPJ sepatutnya bertindak mengikut prosedur dengan memberikan notis sebelum menggugurkan seorang ahli majlis, dan memberi amaran tindakan itu mungkin menjadi duluan untuk pemberhentian di masa akan datang.
“Pada pendapat kami, Shatiri menjalankan tugas dengan cemerlang dan penuh dedikasi walaupun ada perbezaan kaum, agama dan politik.
“Kami menanggap beliau seorang pemimpin masyarakat yang menjaga kepentingan semua penduduk. Beliau memberikan khidmat yang baik dan mudah didekati,” kata mereka.
Shatiri dilantik ahli majlis pada September 2014, dan sejak itu turun ke lapangan untuk menjalankan banyak inisiatif, kata mereka.
Antara pencapaiannya ialah penubuhan sebuah majlis yang terdiri daripada 40 ketua persatuan penduduk, badan pengurusan bersama, Rukun Tetangga, surau dan rumah ibadat di Zon 3.
“Usaha beliau banyak memanfaatkan penduduk dan juga MBPJ dalam menyelesaikan masalah masyarakat,” kata mereka.
Zon 3 merupakan zon terbesar di bawah wilayah MBPJ, mempunyai 80,000 penduduk.
Menurut kumpulan itu, majlis mereka sudah mengadakan 5 mesyuarat dan dipengerusikan oleh Shatiri.
“Beliau turut menghadiri 170 program di zon itu sejak tahun lepas sehingga Jun tahun ini.
“Kami difahamkan kehadiran di program Shatiri merupakan yang tertinggi dalam kalangan ahli majlis MBPJ.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Sejumlah 55 permohonan dari 35 persatuan di zon ini juga diserahkan untuk geran Program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya, dan dengan sokongan Shatiri, geran diterima pada 18 Ogos,” kata mereka.