Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Rokok haram tetap laris walaupun tindakan keras kastam

 | August 23, 2017

Apabila 57% rokok yang dijual adalah rokok haram, syarikat tembakau menyalahkan kenaikan duti eksais 40% sebagai penyebab pengguna tidak mampu membeli rokok sah.

Rokok-Seludup3

PETALING JAYA: Pasaran rokok haram akan terus meraih keuntungan daripada kenaikan harga rokok yang dijual secara sah, walaupun tindakan keras kastam ke atas dagangan haram itu.

Mengambil kira kerugian berbilion ringgit akibat masalah itu, kastam meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di sempadan, pelabuhan dan laluan masuk negara sejak 6 bulan lalu bagi membanteras pelaku di sebalik pengimportan rokok haram, lapor The Malaysian Reserve (TMR).

Langkah itu mungkin mengurangkan jumlah rokok yang dibawa ke negara ini tetapi tidak memberi kesan besar kepada mengurangkan pembelian rokok haram.

“Pasaran rokok sah menguncup lebih 50% sejak 13 tahun lalu.

“Pada Disember tahun lepas, pembelian rokok haram mencecah rekod 57.1%, atau 10 bilion batang rokok, daripada 18 bilion batang rokok yang dihisap di negara ini,” lapor akhbar kewangan itu.

Ini bermakna sekurang-kurang satu daripada setiap pek rokok yang terjual ialah rokok haram, berbanding hanya 14.4% yang dibeli pada 2004.

Sememangnya, mangsa paling terkesan daripada kerugian hasil itu, selain kerajaan, ialah syarikat rokok.

Di samping kempen berterusan Kementerian Kesihatan yang mahu mengurangkan jumlah pengguna rokok dan larangan merokok di tempat awam, perdagangan rokok haram menjejaskan syarikat rokok.

Menurut TMR, jualan sejak 36 bulan lalu dalam perniagaan pengilangan rokok yang lumayan suatu masa dulu menjunam.

Syarikat tembakau Philip Morris (M) Sdn Bhd percaya kenaikan 40% duti eksais rokok pada November 2015 mengubah nasib industri itu.

“Kami percaya keadaan yang kami hadapi sekarang ini kerana kenaikan cukai eksais berturut-turut, yang menghasilkan jurang harga yang besar antara rokok sah dan rokok haram.

“Sebaliknya, isu mampu milik dan sentimen pengguna mendorong perokok mencari rokok yang tidak dibayar duti,” kata Pengarah Urusan Philip Morris Kang Tae Koo kepada TMR.

Akibat kenaikan harga duti, harga 1 pek rokok di Malaysia yang ke-3 termahal di rantau Asean, selepas Singapura dan Brunei. Kenaikan harga rokok di Malaysia itu sebahagian besarnya kerana kenaikan duti berkaitan rokok sehingga lebih 110% sejak 2011.

Menurut TMR, harga runcit rokok naik dari RM5 pada awal 2000-an kepada RM12 dan RM17 setiap pek sekarang ini. Rokok haram pula dijual pada harga antara RM4 dan RM5 setiap pek.

“Jurang harga yang besar antara rokok sah dan rokok haram akan terus menjejaskan industri,” kata Kang menurut laporan itu.

Philip Morris tidak merancang untuk menutup atau mengecilkan operasi di Malaysia, tidak seperti pesaingnya British American Tobacco (M) Bhd (BAT) dan JT International Bhd (JTI).

Tahun lepas, BAT menutup kilangnya di Petaling Jaya, Selangor, menyebabkan 230 kakitangan kehilangan kerja.

Ketika itu, BAT berkata jualan jatuh disebabkan rokok haram di pasaran dan duti tinggi yang dikenakan kerajaan sebagai alasan untuk menutup operasinya.

JIT juga mengumumkan kilangnya di Shah Alam akan ditutup pada hujung tahun ini, yang akan menjejaskan 270 kakitangan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments