Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ahli politik gagalkan pembinaan negara bangsa, kata sidang meja bulat

 | September 13, 2017

Terdapat segelintir masyarakat yang enggan menerima kenyataan negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum, kata Siddiq Fadzil.

Siddiq-Fadzil-pembinaan-negara-bangsaSHAH ALAM: Ahli politik yang memainkan sentimen perkauman dan keagamaan antara punca kegagalan pembinaan negara bangsa Malaysia, kata ahli panel sidang meja bulat Pusat Kajian Pembinaan Bangsa.

Penasihat Pusat Kajian Pembinaan Bangsa di Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Siddiq Fadzil berkata, terdapat segelintir masyarakat yang enggan menerima kenyataan negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum.

“Saya tidak percaya sentimen perkauman telah dipadam ianya masih disimpan.

“Ada masyarakat yang tidak mahu menerima kenyataan Malaysia ini berbilang bangsa dan masih ada yang bermimpi ingin mendirikan kerajaan 100% Melayu,” katanya ketika sesi sidang meja bulat anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di sini.

Beliau berkata, kenyataan politik yang menggelar DAP sebagai kafir harbi atau orang kafir yang layak diperangi oleh sesetengah individu juga amat berbahaya dalam konteks negara berbilang bangsa dan agama.

“Kenyataan sedemikian tidak mewakili individu itu sahaja, ia mewakili segolongan masyarakat Malaysia yang berfikiran sedemikian,” katanya.

Salah seorang panel meja bulat tersebut, Mazlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas.

“Media sosial mempamerkan di sebalik kebenaran, di samping penggunaan visual dan perkataan.

“Pengguna media sosial bercakap perkara yang mereka mahu tanpa sekatan dan banyak isu ketegangan kaum dicetuskan akibat media sosial,” kata pensyarah itu.

Menurutnya lagi, slogan politik seperti 1Malaysia tidak akan berkesan dalam menyatukan rakyat atau membina negara bangsa kerana ianya hanyalah slogan bermusim tanpa isi.

“Kita perlukan naratif baru hubungan antara kaum dan agama. Konsep 1Malaysia slogan politik dan kosong tanpa apa-apa pengisian. Kita perlukan lebih aksi berbanding slogan,” katanya.

Turut menjadi panel dalam program meja bulat itu aktivis kesenian Eddin Khoo, Ketua Pegawai Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Tricia Yeoh, dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Denison Jayasooria.

Denison berkata, beliau mengharapkan agar ahli politik memainkan peranan menyatupadukan rakyat.

“Politik memecahbelahkan kita. Jika ahli politik tidak mampu menyatupadukan rakyat saya harapkan ahli akademi perlu memainkan peranannya,” katanya.

Program meja bulat itu turut menyaksikan pelancaran pusat kajian perpaduan bangsa oleh IDE oleh Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman.

Dalam ucapannya, Redzuan berkata perbezaan yang ada di Malaysia seharusnya tidak dilihat sebagai kelemahan sebaliknya dijadikan kekuatan oleh rakyatnya.

“Kepelbagaian seharusnya dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan yang menyukarkan.

“Di sebalik wujudnya perbezaan kaum dan agama, sebenarnya wujud sekian banyak persamaan dari segi nilai dan prinsip fundamental yang seharusnya dibangun dan dikembang menjadi elemen persefahaman dan perpaduan dalam membentuk dasar dan program.

“Yang memperkukuh bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenar,” katanya ketika merasmikan program tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments